Jumaat, 15 April 2022 | 2:36pm

Pengunjung Genting Skyworlds dijangka terus meningkat

KUALA LUMPUR: Ketibaan pelawat di Taman Tema Resorts World Genting (RWG), SkyWorlds dijangka kembali pulih pada separuh kedua tahun ini.

CGS-CIMB dalam nota penyelidikan, berkata kehadiran pengunjung yang bertambah baik itu disokong oleh pembukaan lebih banyak permainan berbanding hanya 75 peratus ketika ini.

"Kehadiran pelawat di Skyworlds lebih perlahan dari jangkaan sejak pra pembukaan pada 8 Februari lalu.

"Namun, kami berpendapat ia akan bertambah baik pada Jun-Disember dipacu permintaan terpendam apabila kebimbangan COVID-19 reda, selain promosi yang dilaksanakan RWG," katanya.

Firma penyelidik itu berkata, ia menjangkakan jumlah kehadiran pelawat berada pada paras 1.5 juta, 2.3 juta dan 2.5 juta masing-masing pada 2022, 2023 dan 2024 daripada 3.1 juta pengunjung pada 2012.

"Genting Malaysia Bhd (GENM) akan meraih manfaat daripada kemudahan RWG yang lain. Kami menjangkakan kesan negatif bersih berjumlah RM174 juta pada 2022 dan RM58 juta pada 2023 kepada untung sebelum cukai kumpulan," katanya.

Pada 8 Februari lalu, RWG secara rasminya membuka Skyworlds kepada orang ramai.

Ia menawarkan diskaun 20 peratus ke atas harga tiket penuh bagi kunjungan dari 8 Februari sehingga 31 Mac 2022.

Semasa tempoh pembukaan pra-pelancaran, akses Virtual Queue (VQ) dan Photo+ percuma akan disediakan, yang mana pengunjung boleh memuat turun dan berkongsi kandungan foto digital tanpa had.

Harga tiket penuh bagi tiket standard berharga RM189; kanak-kanak dengan ketinggian 90 sentimeter (cm) ke 110 cm dan warga emas/orang kelainan upaya (OKU) berharga RM161 dan percuma bagi kanak-kanak dengan ketinggian di bawah 90 cm.

Sementara, harga tiket selepas diskaun pra-pembukaan sebanyak 20 peratus ialah RM151 bagi tiket standard dan RM128 bagi kanak-kanak ketinggian 90cm ke 110 cm dan warga emas/OKU.

Dengan keluasan 10.4 hektar di ketinggian 6,000 kaki dari aras laut, Taman Tema Genting SkyWorlds bakal membawa pengunjung mengembara ke sembilan 'dunia' yang diinspirasikan oleh filem dan pengembaraan, menggabungkan Harta Intelek (IP) asli, dan juga keseronokan serta keterujaan bertemakan filem di dalam permainan dan tarikan bertaraf dunia.

Berita Harian X