Khamis, 14 April 2022 | 3:17pm
Tan Sri Teh Hong Piow
Tan Sri Teh Hong Piow

LPI Capital catat keuntungan lebih rendah

KUALA LUMPUR: LPI Capital Bhd mencatatkan keuntungan bersih yang lebih rendah berjumlah RM61.53 juta bagi suku pertama yang berakhir pada 31 Mac 2022 daripada RM82.31 juta sebelum ini, penurunan sebanyak 25.3 peratus.

Pendapatan merosot 9.8 peratus kepada RM397.74 juta berbanding RM440.79 juta disebabkan oleh premium kasar yang lebih rendah yang diterima pada suku pertama 2022, katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Syarikat itu, yang menyediakan perlindungan insurans melalui anak syarikatnya, Lonpac Insurance Bhd, berkata pendapatan pelaburan berjumlah RM28.7 juta, 33.7 peratus lebih rendah daripada RM43.3 juta yang direkodkan semasa suku pertama 2021, disebabkan oleh pendapatan dividen yang kurang memberangsangkan yang diterima daripada pelaburan ekuiti kumpulan.

Walaupun pulangan bersih ekuiti dilaporkan mencecah 2.9 peratus, pendapatan sesaham turun 25.3 peratus kepada 15.44 sen daripada 20.66 sen.

Pengerusi Kumpulan, Tan Sri Teh Hong Piow, berkata kumpulan mencatatkan permulaan yang agak perlahan hingga tahun kewangan 2022 dengan prestasi kumpulan yang terjejas oleh nisbah tuntutan yang lebih tinggi dan prestasi yang kurang mantap daripada portfolio pelaburannya.

"Pendapatan pelaburan serta keuntungan yang lebih rendah daripada anak syarikat insurans penuhnya, Lonpac Insurance menyumbang kepada keuntungan LPI yang lebih rendah," katanya dalam satu kenyataan.

Melangkah ke hadapan, beliau berkata dengan pembukaan semula ekonomi dan pemulihan aktiviti perniagaan, permintaan untuk insurans dijangka meningkat.

"Walaupun Kumpulan LPI menghadapi beberapa masalah dalam prestasinya semasa suku pertama 2022, kumpulan yakin dengan pengukuhan saluran pengedaran serta usaha bersepadu dalam melaksanakan pelan perniagaannya, LPI akan dapat melaporkan prestasi yang memuaskan untuk baki tahun kewangan 2022," katanya.

-BERNAMA

Berita Harian X