Selasa, 12 April 2022 | 6:16pm
KLCCP Stapled Group merangkumi mercu tanda ikonik negara, Menara Berkembar Petronas, Suria KLCC dan Hotel Mandarin Oriental - Foto hiasan
KLCCP Stapled Group merangkumi mercu tanda ikonik negara, Menara Berkembar Petronas, Suria KLCC dan Hotel Mandarin Oriental - Foto hiasan

KLCCP Stapled Group jangka pemulihan progresif perniagaan

KUALA LUMPUR: KLCCP Stapled Group menjangkakan untuk melihat pemulihan yang progresif dalam semua segmen perniagaannya seiring dengan peralihan negara ke fasa endemik bermula 1 April 2022, dalam persekitaran pembukaan semula sempadan antarabangsa.

Ketua Pegawai Eksekutif KLCC Property Holdings Bhd, Md Shah Mahmood, berkata kepulangan semula penyewa dari November 2021 adalah memberangsangkan dan dijangka akan merangsang operasi peruncitan dan hotel secara berperingkat.

"Suria KLCC, yang berada dalam aliran menaik, akan terus memberikan pengalaman pelanggan yang tiada tandingan dengan pertamanya membawa masuk ke jenama pasaran dan memanfaatkan teknologi digital, manakala Hotel Mandarin Oriental akan terus memfokuskan pada (aktiviti) masa lapang domestik dan serantau bukan sahaja dari segi kadar penghunian, tetapi juga acara serta makanan dan minuman (F&B).

"Segmen perkhidmatan pengurusan juga sedang menuju ke arah menjadi rakan kongsi penyelesaian dan terus berinovasi dan memperkayakan pengalaman pelanggan," katanya katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) KLCC Real Estate Investment Trust (REIT) kesembilan dan KLCC Property Holdings ke-19.

Sementara itu, dari segi operasi, Md Shah berkata, kumpulan itu telah mencipta Agenda Strategik yang diperbaharui, termasuk menilai semula portfolio asetnya untuk memanfaatkan trajektori pertumbuhan mereka, serta komitmen kumpulan terhadap kemampanan untuk membina momentum bagi tahun hadapan yang lebih cemerlang.

"2021 adalah tahun yang bertumpu untuk menyokong pihak berkepentingan kumpulan. Kami mengutamakan penyewa kami dan keselamatan serta kesejahteraan pelanggan serta keupayaan rakan kongsi runcit.

"Kumpulan ini menghulurkan bantuan sewa lebih RM127.1 juta, 36 peratus lebih banyak berbanding 2020, bagi memastikan penyewa runcit kami mampu mengekalkan perniagaan mereka, sambil mengekalkan kadar penghunian pusat beli-belah itu," katanya.

Kumpulan itu membuat pengagihan sebanyak 33.60 sen setiap sekuriti asas pada 2021, meningkat 12 peratus daripada 2020.

KLCCP Stapled Group, yang terdiri daripada KLCC Property Holdings (KLCCP) dan KLCC REIT, adalah sekuriti asas yang diuruskan sendiri terbesar di Malaysia yang melabur, membangun, memiliki dan menguruskan aset ikonik dan berkualiti yang stabil.

Kumpulan itu mewakili REIT yang berfokuskan pejabat terpelbagai yang terdiri daripada lima pejabat Gred-A merangkumi mercu tanda ikonik negara, Menara Berkembar Petronas, Suria KLCC dan Hotel Mandarin Oriental.

-BERNAMA

Berita Harian X