Khamis, 7 April 2022 | 2:52pm
Pekat Group Bhd
Pekat Group Bhd

Pekat dapat kontrak bina ladang PV skala besar

KUALA LUMPUR: Pekat Group Bhd melalui anak syarikatnya, Pekat Solar Sdn Bhd (PSSB) memperoleh kontrak kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) bernilai RM38.3 juta dari Sun Estates Sdn Bhd (Sun Estates).

Pengarah Eksekutifnya, Wee Chek Aik, berkata kontrak EPCC yang diterima oleh firma pengkhususan dalam solar fotovolta (PV) dan perlindungan pembumian dan kilat (ELP) itu adalah bagi membangunkan ladang PV berskala besar (LSS).

Beliau berkata, Sun Estates juga menandatangani kontrak dua tahun dengan PSSB bagi penyenggaraan ladang PV solar, yang dijangka akan ditauliahkan pada Disember 2023.

"Perolehan kontrak terbaharu itu mengisi semula tempahan kontrak EPCC solar kumpulan kepada RM209 juta selepas penyempurnaan kontrak EPCC bernilai RM33.1 juta untuk ladang PV solar 12 MWp PROTON di Tanjung Malim Perak, enam bulan lebih awal daripada jadual.

"Kepakaran Pekat menjadi semakin relevan ketika semakin banyak organisasi mementingkan karbon dan berusaha untuk menggunakan tenaga bersih serta boleh diperbaharui," katanya dalam satu kenyataan.

Aktiviti utama Sun Estates ialah pengendalian kemudahan penjanaan kuasa yang menghasilkan tenaga elektrik.

Ia dimiliki oleh PB Green Farm Sdn Bhd sebanyak 51 peratus dan 49 peratus lagi dimiliki oleh Mass Team Industries (M) Sdn Bhd.

Ladang PV solar arus ulang-alik 10 megawatt (MWac), yang terletak di Batang Padang, Perak, adalah sebahagian daripada pembidaan kompetitif Kitaran Pembidaan LSS 4 (LSS@MEnTARI) yang telah dijalankan oleh Suruhanjaya Tenaga pada 2021.

Mengulas lanjut, Chek Aik berkata, tenaga solar menyediakan alternatif yang sangat diperlukan untuk syarikat menguruskan kos tenaga jangka panjang terutama pada masa sekarang.

Beliau berkata, dengan harga arang batu hingga minyak dan gas meningkat lebih dua kali ganda dalam tempoh dua tahun lalu, kos penjanaan elektrik daripada bahan api berkenaan meningkat, manakala tarif elektrik domestik turut terkesan.

Katanya, walaupun menghadapi cabaran kos yang timbul daripada gangguan rantaian bekalan global, kumpulan masih optimis dengan prospek pertumbuhan dalam ruang tenaga boleh diperbaharui pada masa hadapan.

"Kontrak itu dijangka menyumbang secara positif kepada aset bersih dan pendapatan kumpulan Pekat apabila projek siap kelak," katanya.

Berita Harian X