Rabu, 6 April 2022 | 3:04pm
Kerjaya Prospek Group Bhd
Kerjaya Prospek Group Bhd

Kerjaya Prospek dapat kontrak pembangunan RM265 juta

KUALA LUMPUR: Syarikat pembinaan, Kerjaya Prospek Group Bhd menerusi anak syarikat milik penuhnya Kerjaya Prospek (M) Sdn Bhd, mendapat kontrak RM265 juta daripada Persada Mentari Sdn Bhd, anak syarikat tidak langsung Eastern & Oriental Bhd.

Kontrak diterima bagi menjalankan kerja-kerja bangunan utama bagi cadangan projek pembangunan yang terletak di Kawasan Tebusguna Tanah Seri Tanjung Pinang (Fasa 2A), Pulau Pinang.

Projek itu terdiri daripada dua blok pangsapuri, menempatkan sejumlah 1,020 unit, tempat letak kereta bawah tanah, tempat letak kereta empat tingkat dan dua tingkat unit komersial.

Ia dijangka siap dalam tempoh 32 bulan dari tarikh permulaannya pada 1 Julai 2022.

Kontrak itu diraih selepas kumpulan dianugerahkan kontrak kedua tahun ini, bernilai RM197.5 juta, daripada anak syarikat milik penuhnya, Yakin Land Sdn Bhd pada Mac 2022.

Projek itu adalah untuk menjalankan kerja-kerja bangunan utama untuk dua blok pangsapuri yang menempatkan 454 unit kediaman, di atas empat tingkat tempat letak kereta dan kemudahan kediaman, dan tempat letak kereta bawah tanah dua tingkat.

Pembangunan dijadualkan siap dalam tempoh 36 bulan mulai 1 Mei 2022.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Kerjaya Prospek Group, Tee Eng Tiong, berkata kumpulan meraih tiga kontrak pada tahun ini bersama-sama dengan kontrak RM710.1 juta yang diperoleh baru-baru ini untuk pembangunan Astrum Ampang.

Katanya, ia sekali gus semakin menghampiri dengan pantas sasaran RM1.2 bilion untuk 2022.

"Dengan mampu mencapai pencapaian ini walaupun baru empat bulan memasuki tahun 2022, mempamerkan daya saing kami dalam pasaran dan kebolehan kami sebagai kontraktor bangunan terkemuka di Malaysia.

"Bersama-sama dengan kontrak baharu ini, tempahan tertunggak kami diperkukuh kepada RM4.4 bilion yang akan menyediakan kumpulan dengan pendapatan untuk lima tahun akan datang.

"Kami akan terus membida tender untuk projek baharu dengan memanfaatkan kekuatan daya saing kami untuk meningkatkan pulangan pemegang saham dan membawa kumpulan ke fasa pertumbuhan seterusnya," katanya dalam satu kenyataan.

Berita Harian X