Isnin, 4 April 2022 | 1:34pm
Kilang pengeluaran MSM Malaysia - Foto hiasan
Kilang pengeluaran MSM Malaysia - Foto hiasan

Prestasi kewangan MSM dijangka terus pulih

KUALA LUMPUR: MSM Malaysia Holdings Bhd dijangka meneruskan momentum pemulihannya sehingga tahun kewangan 2023 hingga 2024, demikian menurut Affin Hwang Capital.

Firma penyelidikan itu berkata, pendapatan MSM dijangka meningkat pada kadar pertumbuhan tahunan terkompaun (CAGR) tiga tahun sebanyak 13.2 peratus bagi tahun kewangan 2022 disokong oleh peningkatan jumlah jualan dan prata harga jualan lebih tinggi merentasi semua segmen perniagaannya.

"MSM menyasar untuk mencapai purata kadar penggunaan pengeluaran sehingga 65 peratus daripada kilang penapisan MSM Johor dan MSM Prai, yang mempunyai kapasiti tahunan dua juta tan.

"Bagaimanapun, dengan kenaikan harga gula mentah, kumpulan mengimbangi impaknya dengan melindung nilai keperluan gula mentah bagi 2022 dan 2023, selain melindungi nilai keperluan tukaran asing bagi dolar Amerika Syarikat (AS).

"Meskipun begitu, kami menjangkakan margin kasar akan menguncup kepada 6.7 peratus bagi tahun kewangan 2022, dengan MSM sebahagiannya memindahkan kenaikan kos kepada pengguna," kata Affin Hwang dalam satu nota.

Firma penyelidikan itu menambah, harga saham MSM telah mencecah paras lantai selepas susut 48 peratus sejak Disember 2021 sehingga pada awal Mac lalu.

Sejak itu, ia berkata, saham MSM pulih sekitar 41 peratus sepanjang beberapa minggu lalu.

"Pada paras harga semasa, saham MSM dianggap sebagai berada di bawah penilaian," katanya.

 

Affin Hwang menaikkan saranan harga saham MSM kepada 'beli' daripada 'jual' dengan sasaran harga RM1.23 sesaham berbanding RM1 sebelumnya.

Berita Harian X