Jumaat, 1 April 2022 | 6:46pm
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif UEM Edgenta, Syahrunizam Samsudin (tengah) menandatangani Memorandum Eksplorasi Perniagaan bersama Ketua Pegawai Eksekutif Disrupt-X, Vijay Antony Alen (kiri) dan Pengarah Eksekutif & Ketua Operasi Global Byte Blanket, Murugesan Prakasam - Foto ihsan UEM Edgenta
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif UEM Edgenta, Syahrunizam Samsudin (tengah) menandatangani Memorandum Eksplorasi Perniagaan bersama Ketua Pegawai Eksekutif Disrupt-X, Vijay Antony Alen (kiri) dan Pengarah Eksekutif & Ketua Operasi Global Byte Blanket, Murugesan Prakasam - Foto ihsan UEM Edgenta

Unit UEM Edgenta teroka peluang di Asia Barat

KUALA LUMPUR: Anak syarikat milik penuh UEM Edgenta Bhd, Operon Middle East (Operon) menandatangani Memorandum Eksplorasi Perniagaan dengan Byte Blanket FZE dan Disrupt-X DMCC untuk mengenal pasti potensi kerjasama teknologi.

Ia bagi menyokong pembangunan bandar pintar mampan serta memperkenalkan penyelesaian digital di pasaran Asia Barat.

Dalam kenyataan hari ini, ia berkata, kerjasama itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan UEM Edgenta untuk pasaran pengurusan fasiliti bersepadu di rantau itu dengan memberi tumpuan kepada strategi pengembangan serantaunya, di samping membangunkan penyelesaian bersepadu berasaskan teknologi, sejajar dengan visi 'Edgenta of the Future 2025.'

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif UEM Edgenta, Syahrunizam Samsudin, berkata melalui perkongsian serantau itu, syarikat berkenaan akan meneroka peluang untuk merealisasikan visi bersama.

"Kami yakin bahawa gabungan kepakaran kami ini akan menjadi penyelesaian pilihan untuk pasaran Asia Barat dan antarabangsa yang lain.

"Bandar-bandar pada masa hadapan akan dibentuk oleh ketersambungan, mobiliti, daya tahan dan kemampanan. Merevolusikan pembangunan bandar pintar memerlukan penyelesaian teknologi masa hadapan yang kukuh bagi membolehkan pembandaran yang mampan serta membantu menyokong kesejahteraan komuniti dalam ekosistem rendah karbon," katanya.

Sementara itu, UEM Edgenta berkata, ia bercadang memperkenalkan konsep 'bangunan hyper-aware' bersama-sama Byte Blanket dan Disrupt-X sebagai sebahagian daripada teknologi bandar pintar, dengan Internet Pelbagai Benda (IoT) menjadi penglihatan dan pendengaran fasiliti 'hyper-aware.'

Menurutnya, melalui gabungan IoT dan data kontekstual, bangunan akan mudah untuk disesuaikan mengikut persekitarannya serta keperluan penghuninya, di mana situasi akan dapat disesuaikan untuk meningkatkan taraf kecekapan, produktiviti, kebolehpercayaan dan keselamatan.

Disrupt-X ialah penyedia perkhidmatan penyelesaian platform IoT berskala menyeluruh, manakala Byte Blanket memiliki Enter Bubble Technologies, rangka kerja digital yang berpotensi merevolusikan bandar pintar dan industri melalui rangkaian sosial mikro spontan merentasi seluruh dunia.

-BERNAMA

Berita Harian X