Jumaat, 1 April 2022 | 6:35pm
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Kamarudin (tengah) bersama Pengarah Perbankan Peruncitan Bank Muamalat, Zury Rahimee Zainal Abiden (kiri) dan Pengurus Negara Visa Malaysia, Ng Kong Boon pada majlis pelancaran Bank Muamalat Visa Platinum-i dan Bank Muamalat Visa Infinite-i di Kuala Lumpur, hari ini - NSTP/Genes Gulitah
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Kamarudin (tengah) bersama Pengarah Perbankan Peruncitan Bank Muamalat, Zury Rahimee Zainal Abiden (kiri) dan Pengurus Negara Visa Malaysia, Ng Kong Boon pada majlis pelancaran Bank Muamalat Visa Platinum-i dan Bank Muamalat Visa Infinite-i di Kuala Lumpur, hari ini - NSTP/Genes Gulitah

Bank Muamalat lancar 2 kad kredit patuh Syariah

KUALA LUMPUR: Bank Muamalat Malaysia Bhd (Bank Muamalat) memperkenalkan kad kredit patuh Syariah sepenuhnya, iaitu Bank Muamalat Visa Platinum-i dan Bank Muamalat Visa Infinite-i yang memberi kemudahan, fleksibiliti serta ganjaran kepada pelanggan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Kamarudin, berkata Bank Muamalat Visa Infinite-i juga memiliki keunikan kerana ia adalah kredit kad logam Islamik pertama di Malaysia.

Beliau berkata, langkah kumpulan itu akan memberikan pilihan kad kredit yang menarik kepada pengguna di Malaysia, terutama yang memilih elemen patuh Syariah.

"Bank Muamalat berharap dapat mempercepatkan perolehan kad kredit kami, terutama menerusi kerjasama dengan Visa International.

"Bagi kedua-dua kad kredit patuh Syariah sepenuhnya terbaru ini, kumpulan menyasarkan 20,000 kad kredit dapat dikeluarkan dalam tempoh 12 bulan pertama ini," katanya selepas pelancaran kad kredit Bank Muamalat Visa Platinum-i dan Bank Muamalat Visa Infinite-i di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengarah Perbankan Peruncitan Bank Muamalat, Zury Rahimee Zainal Abiden, berkata melalui kerjasama dengan Visa International, bank kini dapat menawarkan segala keperluan perbankan pelanggan di bawah satu bumbung.

Beliau berkata, kelebihan kad kredit terbaru Bank Muamalat itu juga ditawarkan tanpa yuran tahun dengan ganjaran pulangan tunai.

Katanya, Bank Muamalat juga akan terus mempelbagaikan akses produk patuh Syariah pada masa akan datang, sekali gus mampu memenuhi keperluan pasaran sasaran.

"Kad kredit i-Visa Bank Muamalat ini adalah tepat pada masanya kerana pembayaran tanpa sentuh sudah menjadi satu keperluan ketika ini.

"Malah, kad kredit i-Visa Bank Muamalat mempunyai ciri menarik, menyediakan elemen keselamatan dan kebolehcapaian yang lebih baik," katanya.

Zury Rahimee berkata, elemen menarik yang lain adalah kad kredit i-Visa Bank Muamalat boleh menggabungkan pembelian harian merangkumi pembelian dalam talian, tanpa sentuh dan bersemuka ke dalam akaun Bank Muamalat.

Beliau berkata, ia membolehkan pemegang kad mengurus kewangan dengan lebih cekap dan berkesan di bawah satu institusi kewangan.

Berita Harian X