Jumaat, 1 April 2022 | 3:28pm
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz (tengah) pada majlis pelancaran program pinjaman peribadi inklusif GOpinjam di Kuala Lumpur, hari ini
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz (tengah) pada majlis pelancaran program pinjaman peribadi inklusif GOpinjam di Kuala Lumpur, hari ini

TNG sedia pinjaman peribadi melalui GOpinjam

KUALA LUMPUR: Kumpulan Touch 'n Go (TNG) terus memperluaskan perkhidmatannya dengan tawaran terbaharu program pinjaman peribadi inklusif GOpinjam, yang disediakan melalui Touch 'n Go eWallet.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TNG, Effendy Shahul Hamid, berkata pinjaman ditawarkan menumpukan kepada golongan yang kurang mendapat akses kepada pinjaman dan juga B40.

Beliau berkata, GOpinjam menawarkan pinjaman mudah dan pantas serendah RM100 sehingga RM10,000 dengan tempoh pembayaran semula yang fleksibel pada kadar faedah sebanyak lapan peratus.

Katanya, syarikat menyasar untuk menyalurkan pinjaman sehingga RM300 juta tahun ini memandangkan TNG mempunyai pelanggan yang tinggi dan transaksi Touch 'n Go eWallet yang memberangsangkan.

"Tambahan pula, kami ingin membantu pelanggan yang memerlukan tunai segera dalam jumlah yang kecil berbanding meminjam daripada penyedia pinjaman peribadi yang lain seperti bank.

"Malah, syarat pinjaman juga lebih mudah. Pelanggan yang mempunyai pendapatan bulanan minimum sebanyak RM800 sudah boleh memohon pinjaman.

"Ini adalah tawaran penyelesaian pinjaman digital pertama kami selepas memperkenalkan perkhidmatan kewangan dalam pelaburan dan insurans sebelum ini," katanya selepas pelancaran GOpinjam di sini, hari ini.

Majlis dirasmikan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Turut hadir Pengerusi TNG, Datuk Zainal Abidin Putih dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB Bank Bhd, Datuk Abdul Rahman Ahmad.

GOpinjam yang boleh diakses melalui Touch 'n Go eWallet dan dihantar sepenuhnya secara elektronik, menawarkan pinjaman peribadi serendah RM100 hingga maksimum RM10,000.

Tempoh pembayaran balik untuk pinjaman adalah antara seminggu sehingga setahun, tanpa yuran tersembunyi bagi caj penyelesaian awal.

GOpinjam dibangunkan dengan kerjasama CIMB Bank dan menggunakan reka bentuk produk serta mekanisme penghantaran yang berbeza bagi memastikan perjalanan dan pengalaman pengguna terbaik. Ia tawaran pinjaman pertama yang membolehkan pengguna meminjam daripada serendah RM100, dengan produk Pinjaman Peribadi e-Zi Tunai CIMB Bank yang diluluskan oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

Semua pengguna kali pertama yang ingin memohon dikehendaki mengemukakan sama ada slip gaji sebulan atau penyata Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) terkini berserta maklumat asas untuk permohonan pinjaman.

Bagi pemohon yang diluluskan, pinjaman kemudiannya disalurkan segera ke dalam sama ada Touch 'n Go eWallet atau akaun Bank CIMB.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, usaha syarikat swasta seperti TNG dan CIMB Bank menggalakkan transaksi kewangan digital, membantu kerajaan dalam memperkukuh agenda digital negara.

Beliau berkata, usaha berterusan untuk menyokong keterangkuman kewangan dan semua inovasi teknologi perlu terus disokong.

Katanya, tahun lalu purata rakyat Malaysia membuat 221 transaksi e-pembayaran, meningkat daripada 150 pada 2019, manakala urus niaga perbankan mudah alih meningkat hampir empat kali ganda kepada RM800 bilion pada 2021.

Berita Harian X