Khamis, 31 March 2022 | 9:15pm
Sapura Resources Bhd
Sapura Resources Bhd

Sapura Resources rugi RM270.5 juta

KUALA LUMPUR: Kerugian bersih Sapura Resources Bhd melebar kepada RM270.5 juta pada tahun kewangan berakhir 31 Januari 2022 berbanding RM20.5 juta setahun lalu.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata, pendapatan merosot kepada RM45.17 juta daripada RM66 juta sebelumnya, terutama disebabkan pendapatan lebih rendah daripada segmen pelaburan hartanah dan penerbangan.

Bagi suku keempat tahun kewangan 2022, kerugian bersih berjumlah

RM109.9 juta berbanding kerugian bersih RM3.4 juta pada suku sama sebelumnya, manakala pendapatan merosot kepada RM10.9 juta berbanding RM11.4 juta.

"Pendapatan pelaburan hartanah merosot daripada RM6.2 juta pada suku keempat tahun kewangan 2021 kepada RM6 juta pada suku keempat tahun kewangan 2022, terutama disebabkan oleh pendapatan sewaan lebih rendah.

"Pendapatan penerbangan pada suku keempat tahun kewangan 2022 merosot sebanyak lima peratus kepada RM4.9 juta daripada RM5.1 juta pada suku keempat tahun kewangan 2021, terutama disebabkan oleh pendapatan sewaan dan pengurusan pesawat lebih rendah," katanya.

Bagi segmen penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih pesawat (MRO), syarikat merekodkan kerugian sebelum cukai lebih tinggi RM18.9 juta pada suku keempat tahun kewangan 2022 berbanding RM3.7 juta pada suku keempat tahun kewangan 2021, disumbangkan oleh susut nilai sekali saja aset susulan keputusan menamatkan operasi kesan daripada pandemik COVID-19.

Mengenai prospek, Sapura Resources berkata, kumpulan membuat keputusan untuk keluar daripada segmen MRO disebabkan kesan buruk berpanjangan pandemik COVID-19 terhadap segmen berkenaan.

"Tambahan lagi, dengan pasaran hartanah mencabar yang memerlukan masa untuk pulih daripada impak pandemik COVID-19, kumpulan terus menyusut nilai pelaburan Perjanjian Sewaan Induk (MLA).

"Bagaimanapun, segmen hartanah dan perniagaan penerbangan akan terus menyumbang kepada pendapatan kumpulan.

"Buat masa ini, kumpulan sedang menyemak semula semua portfolio pelaburan untuk mengoptimumkan sumber demi memastikan kemampanan jangka panjang," katanya.

-BERNAMA

Berita Harian X