Rabu, 23 March 2022 | 11:37am
Naib Presiden Kanan Pengurusan Petroleum Malaysia PETRONAS, Mohamed Firouz Asnan (empat dari kiri) serta Pengerusi Shell Malaysia dan Naib Presiden Kanan Huluan Malaysia, Ivan Tan (enam dari kiri) pada majlis menandatangani perjanjian kontrak perkongsian pengeluaran (PSC) - Foto ihsan Shell Malaysia
Naib Presiden Kanan Pengurusan Petroleum Malaysia PETRONAS, Mohamed Firouz Asnan (empat dari kiri) serta Pengerusi Shell Malaysia dan Naib Presiden Kanan Huluan Malaysia, Ivan Tan (enam dari kiri) pada majlis menandatangani perjanjian kontrak perkongsian pengeluaran (PSC) - Foto ihsan Shell Malaysia

Shell, PETRONAS kongsi penerokaan di Sabah dan Sarawak

KUALA LUMPUR: Sabah Shell Petroleum Company Limited (SSPC), Shell Sabah Selatan Sdn Bhd (SSS) dan Sarawak Shell Bhd (SSB) memeterai tiga kontrak perkongsian pengeluaran (PSC) dengan PETRONAS, untuk meneroka minyak dan gas di luar pesisir Sabah dan Sarawak.

Ketiga-tiga PSC itu akan terdiri daripada penerokaan blok SK439/SK440 di perairan cetek luar pantai Sarawak dan penerokaan blok SB-2W dan SB-X di perairan dalam di luar pantai Sabah.

Pengerusi Shell Malaysia dan Naib Presiden Kanan Huluan Malaysia, Ivan Tan menandatangani perjanjian bagi pihak Shell, dengan kehadiran Naib Presiden Eksekutif Shell untuk Huluan Minyak & Gas Konvensional, Peter Costello, sementara bagi pihak PETRONAS, PSC ditandatangani oleh Naib Presiden Kanan Pengurusan Petroleum Malaysia, Mohamed Firouz Asnan.

"Pemeteraian PSC ini menandakan satu lagi kejayaan pertumbuhan bagi Shell di Malaysia. Perkongsian kami yang panjang dan berjaya dengan PETRONAS di Malaysia berterusan dengan secara bersama kami berusaha untuk menyediakan tenaga hari ini sambil membiayai tenaga hari esok.

"Saya mengharapkan kerjasama yang lebih berjaya dalam mengembangkan industri tenaga mampan di Malaysia," kata Costello dalam satu kenyataan.

Pada majlis yang sama, Shell turut menandatangani Perjanjian Operasi Bersama (JOA) dengan PETRONAS Carigali Sdn Bhd (PCSB) untuk blok luar pesisir perairan laut dalam SB-2W dan SB-X dan secara berasingan dengan Petroleum Sarawak Exploration and Production Sdn Bhd (PSEP) untuk blok SK439/SK440.

Selain memperoleh PSC penerokaan baharu, Shell terus melabur dalam bidang sedia ada di Malaysia, yang mana SSPC, pengendali sistem pengeluaran terapung separa tenggelam Gumusut-Kakap (GK-Semi FPS) yang terletak di luar pesisir Sabah, telah memulakan kerja Fasa 3 pembangunan Gumusut-Kakap.

Ia berkata, keputusan pelaburan akhir (FID) dibuat pada Ogos 2020.

Fasa 3 itu membabitkan penggerudian empat telaga, iaitu penggerudian dua telaga pengeluar dan dua telaga suntikan air itu, yang dijangka mencapai minyak pertama tahun ini.

"Pemeteraian PSC ini, bersama-sama dengan permulaan Fasa 3 pembangunan Gumusut-Kakap, menunjukkan komitmen berterusan Shell kepada negara ini dan kami akan berusaha untuk menyampaikan projek ini dengan cara yang selamat dan bertanggungjawab.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada PETRONAS dan semua rakan kongsi kami atas keyakinan dan sokongan mereka, dan mengharapkan kerjasama yang lebih berjaya di Malaysia," kata Tan.

Sementara itu, dalam satu kenyataan berasingan, PETRONAS berkata, ia memeterai PSC untuk lima blok penerokaan luar pesisir, iaitu SB412, 2W dan X yang terletak di luar pantai Sabah, dan SK439/SK440 yang terletak di luar pantai Sarawak.

Blok SB412 di Sabah ditandatangani antara PETRONAS, PTTEP HK Offshore Limited dan SapuraOMV Upstream (M) Sdn Bhd, manakala PSC untuk perairan laut dalam, Blok 2W dan X dimeterai antara PETRONAS, SSPC, SSS dan PETRONAS Carigali.

PSC untuk Blok Sarawak SK439/SK440 ditandatangani antara PETRONAS, SSB dan PSEP.

Mengulas mengenai PSC itu, Mohamed Firouz berkata, PETRONAS gembira bahawa PSC yang dimeterai itu akan menarik modal komitmen kira-kira RM600 juta dalam aktiviti penerokaan di Malaysia, sekali gus mencerminkan daya tarikan potensi sumber hidrokarbon Malaysia.

Beliau berkata, penurunan dalam penggerudian penerokaan global sejak dua tahun lalu memberi tekanan kepada industri untuk menyelesaikan kekurangan bekalan semasa.

"Memandangkan ekonomi global mula pulih selepas pandemik, industri perlu memastikan aktiviti penerokaan terus mengekalkan pengeluaran.

"PETRONAS komited untuk mengurangkan pelepasan karbon daripada operasi kami dengan teknologi seperti Penangkap dan Penyimpanan Karbon.

"Kami berharap dapat bekerjasama dengan rakan kongsi untuk menyediakan tenaga yang selamat dan boleh dipercayai kepada pasaran," katanya.

Berita Harian X