Selasa, 22 March 2022 | 11:57am
Paradox Hotel Vancouver
Paradox Hotel Vancouver

TA Global lancar jenama hotel, resort Paradox

KUALA LUMPUR: TA Global Bhd mengumumkan pelancaran koleksi hotel dan resort Paradox, jenama hospitaliti butik dari Kanada.

Paradox akan membuat kemunculan sulungnya di Vancouver, Kanada dengan hotel utamanya, Paradox Hotel Vancouver akan dibuka pada bulan depan.

Jenama itu juga akan diperkenalkan di Asia Tenggara, dengan Paradox Resort & Residences Phuket dibuka pada Januari lalu dan Paradox Singapore Merchant Court di Clarke Quay pada April.

Ketua Pegawai Eksekutif TA Global, Tiah Joo Kim, berkata sektor hospitaliti ketika ini sedang melalui tempoh penting transformasi, dengan teknologi dan media sosial pantas mengubah cara perjalanan serta interaksi dilakukan.

Katanya, TA Global memperakui bahawa perubahan sedang berlaku dari segi cara orang ramai berhubung antara satu sama lain begitu juga dengan perubahan dari segi persekitaran.

"Paradox Hotel Group dilahirkan daripada kajian mendalam terhadap evolusi ini. Kami sentiasa mahu memperkukuhkan rangkaian hotel dan inilah masanya untuk melaksanakan perjalanan yang bermakna ini.

"Peralihan kepada satu jenama yang mantap tidak akan mengkompromikan warisan unik dan personaliti menarik setiap hotel Paradox, yang sudah pun menerima pengiktirafan global daripada industri hospitaliti dan pelancongan.

"Kami yakin bahawa kepelbagaian hotel, resort Paradox dan tawaran gaya hidup hospitaliti lain akan menjadi pintu gerbang untuk memperkayakan destinasi budaya di seluruh dunia," katanya dalam satu kenyataan.

Turut menyertai portfolio Paradox adalah hartanah berjenama bebas seperti Summit Lodge Boutique Hotel dan Aava Hotel in Whistler.

Dengan lima hotel dan resort terletak di destinasi terkemuka seluruh dunia, Paradox Hotel Group menyediakan perjalanan menarik kepada tetamu antarabangsa.

TA Global yang ditubuhkan pada 2008 adalah unit hartanah TA Group of Companies, syarikat yang mempunyai pengalaman selama lebih 30 tahun dalam pasaran kewangan dan hartanah di Malaysia.

Ia terbabit dalam pelbagai perkhidmatan berkaitan hartanah termasuk pembangunan, pengurusan, pelaburan, perdagangan dan operasi hospitaliti.

Berita Harian X