Khamis, 17 March 2022 | 6:37pm
Lulu Group International - Foto hiasan
Lulu Group International - Foto hiasan

Lulu rancang labur RM420 juta di Melaka

KUALA LUMPUR: Konglomerat Lulu Group International bercadang melabur RM420 juta bagi membuka rangkaian pasar raya dan pusat eksport di Melaka dalam tempoh tiga tahun.

Ketua Pegawai Operasi Lulu, Saleem V.I, berkata pelaburan itu meliputi kos beberapa pasar raya besar (hypermarket) dan pasar raya di seluruh Melaka.

Beliau berkata, bagi pusat eksport pula, ia bertujuan membeli produk pertanian dan lain-lain barangan di Melaka untuk dijual ke rangkaian Lulu di seluruh dunia.

"Untuk Melaka, kita akan melabur sebanyak AS$100 juta (RM420 juta), yang bukan hanya rangkaian runcit, tetapi juga pusat eksport untuk mengeksport produk-produk pertanian.

"Satu pasukan dari Lulu akan melawat Melaka tidak lama lagi untuk meninjau lokasi yang sesuai," katanya dalam laporan yang diterbitkan portal Melakahariini.my.

Terdahulu, Saleem menerima lawatan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali, ke pejabat Lulu di Dubai.

Kerajaan Melaka amat mengalu-alukan keputusan Lulu untuk melabur bagi membantu mewujudkan peluang pekerjaan dan membawa perubahan kepada landskap peruncitan di negeri itu, kata Sulaiman.

Menurut beliau lagi, Melaka adalah destinasi pelaburan yang sesuai untuk Lulu, yang juga menawarkan peluang perniagaan kepada petani dan pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS).

Sementara itu, Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, Lulu yang kini mempunyai 227 stor peruncitan di seluruh dunia, menzahirkan minat untuk meluaskan operasinya di Melaka.

Katanya, pihak Invest Melaka sedang meninjau beberapa lokasi yang sesuai untuk Lulu.

"Kerajaan negeri mengalu-alukan apa yang telah diputuskan dalam perbincangan awal untuk membawa pasar raya Lulu ke Melaka. Mereka juga bersungguh-sungguh untuk memperkembangkan perniagaan dan memilih Melaka sebagai salah satu destinasinya," katanya.

Lulu juga turut merancang untuk membuka 15 rangkaian pasar raya dalam tempoh tiga tahun akan datang di seluruh Malaysia.

Sebagai permulaan, pada 2021, kumpulan itu membuka empat rangkaian cawangan baharu di Kuala Lumpur, Selangor dan Johor.

Lulu mencatatkan pendapatan bernilai AS$8 bilion setahun dan memiliki 57,000 kakitangan di seluruh dunia.

-BERNAMA

Berita Harian X