Rabu, 16 March 2022 | 10:22am
Orang ramai melintasi lintasan pejalan kaki ‘fries’ McDonalds di Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur - NSTP/Aizuddin Saad
Orang ramai melintasi lintasan pejalan kaki ‘fries’ McDonalds di Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur - NSTP/Aizuddin Saad

McDonald's Malaysia perkenal lintasan pejalan kaki 'fries'

KUALA LUMPUR: McDonald's Malaysia mengambil inisiatif ke arah menjadikan Kuala Lumpur bandar raya sejahtera menjelang 2030 dengan menampilkan Lintasan Pejalan Kaki 'Fries' McDonald's di persimpangan utama lintasan pejalan kaki Bukit Bintang di sini.

Lintasan pejalan kaki di hadapan restoran McDonald's Bukit Bintang iaitu restorannya yang pertama dibuka di Malaysia sejak 40 tahun lalu, diilhamkan daripada 'fries' atau kentang goreng yang menjadi menu utama pelanggan.

Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald's Malaysia, Datuk Azmir Jaafar, berkata inisiatif itu adalah tanda sokongan kepada Kementerian Wilayah Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam meningkatkan pelan pembangunan fizikal, perkhidmatan dan sosioekonomi di ibu kota.

"Dengan pengumuman pembukaan sempadan negara kepada pengunjung dari luar negara tidak lama lagi, kami yakin 'McDonald's Fries Crossing' ini akan menjadi nilai tambah kepada keindahan Kuala Lumpur dan lokasi wajib bagi golongan muda terutama untuk menambah koleksi 'posting' di media sosial mereka.

"Diharap insiatif ini dapat melonjakkan lagi nama Kuala Lumpur khasnya dan Malaysia amnya sebagai sebuah destinasi wajib bagi pengunjung ke Kuala Lumpur," katanya dalam ucapan ketika majlis perasmian Lintasan Pejalan Kaki 'Fries' McDonald's di sini, semalam.

Lintasan Pejalan Kaki 'Fries' McDonald's itu dirasmikan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dan turut dihadiri Timbalan Menterinya, Datuk Seri Jalaluddin Alias.

Terdahulu, Azmir ketika ditemui pemberita berkata idea penyediaan lintasan pejalan kaki itu terhasil dengan kerjasama DBKL dan McDonald's Malaysia bersetuju untuk menaja kos penyelenggaraan lintasan itu selama setahun.

Dalam perkembangan lain, Azmir berkata, perniagaan McDonald's mula bertapak di Malaysia sejak 40 tahun lalu dengan restoran pertamanya dibuka pada 1982 dan sehingga kini membuka 318 restoran serta menyediakan peluang kerjaya kepada 15,000 pekerja.

"Melalui visi McDonald's Malaysia 2026, kami akan membuka 205 restoran baharu yang akan menjadikan 500 restoran McDonald's di negara ini menjelang 2026 sekali gus mewujudkan 50,000 peluang pekerjaan kepada anak-anak muda," katanya.

Azmir juga berkata, menyumbang semula kepada komuniti adalah nilai utama McDonald's dan hasil kerjasama dengan pelbagai pihak telah menyumbang antaranya lebih 1.5 juta pek makanan bernilai hampir RM10 juta kepada petugas barisan hadapan sejak COVID-19 melanda negara.

Selain itu, katanya melalui Ronald McDonald House Charities (RMHC), pelbagai program komuniti dan kebajikan turut dilaksanakan dalam usaha membantu anak-anak yang kurang bernasib baik di seluruh negara dengan nilai sumbangan tahunan dianggar kira-kira RM3 hingga RM4 juta.

"Sumbangan ini termasuk pembinaan rumah Ronald McDonald yang dibuka sebanyak tiga buah bagi kegunaan ibu bapa yang perlu menjaga anak mereka yang dirawat di hospital dan tidak mampu menyewa hotel.

"Selain itu, sumbangan ini turut membabitkan bantuan pembedahan masalah klef bibir yang telah dijalankan sejak 15 tahun lalu, mewujudkan 35 bilik terapi sensori di seluruh Malaysia dan sumbangan pek kembali ke sekolah untuk anak-anak miskin bandar bagi Program Kembali Ke Sekolah dan sebagainya," katanya.

Azmir berkata, sempena Ramadan akan datang, sumbangan jamuan moreh akan diteruskan dan akan diedar kepada masjid-masjid berhampiran restoran McDonald's di Kuala Lumpur, Labuan serta Putrajaya.

Dalam pada itu, Shahidan berkata inisiatif memperindah ibu kota seumpama itu amat dialu-alukan kementeriannya kerana boleh menjadi satu daripada tarikan kepada pelancong dan menggalakkan syarikat lain untuk turut sama dalam inisiatif terbabit.

"Kerajaan juga akan beri sokongan (kepada syarikat-syarikat) agar aktiviti ekonomi mereka dapat diteruskan, sekali gus menjana lebih banyak peluang pekerjaan," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X