Jumaat, 11 March 2022 | 3:20pm
Gambar fail. Pemandangan bandaraya Kuching. - BERNAMA
Gambar fail. Pemandangan bandaraya Kuching. - BERNAMA

SEDC, UEM Edgenta jalin usaha sama

KUALA LUMPUR: Sarawak Economic Development Corporation (SEDC) menjalin usaha sama dengan UEM Edgenta Bhd (UEM Edgenta) menerusi syarikat usaha sama, Opus Consultants (Sarawak) Sdn Bhd (OCS) untuk memacu pembangunan ekonomi di Sarawak.

Usaha sama menerusi perjanjian pemegang saham itu dilaksanakan SEDC menerusi anak syarikat milik penuhnya, PPES Consults Sdn Bhd (PCSB), sementara UEM Edgenta menerusi anak syarikat milik penuhnya, Opus International (M) Bhd (OIMB).

Usaha sama melalui pegangan saham sebanyak 51 peratus oleh PCSB dan 49 peratus oleh OIMB itu akan mendorong kerjasama dan perkongsian sumber antara kedua-dua pihak untuk memastikan kelancaran penyampaian projek infrastruktur mega di Sarawak.

Kerjasama itu juga akan menyokong pembangunan kepakaran kejuruteraan tempatan dengan OCS menyediakan perkhidmatan pengurusan projek dan perundingan reka bentuk kejuruteraan untuk projek utama pembinaan dan kejuruteraan Sarawak.

Usaha sama itu telah disempurnakan dalam satu majlis menandatangani perjanjian hari ini bersama Pengurus Besar SEDC, Abdul Hadi Datuk Abdul Kadir dan Pengarah Urusan OIMB, Ir Dr Tony Chan, disaksikan Pengarah Bertanggungjawab PCSB, Ir. Dr Ting Sie Chun dan Ketua Pegawai Strategi UEM Edgenta, Rais Imran.

"Kami berbesar hati dengan kerjasama bersama Opus dan UEM Edgenta ini dalam usaha kami untuk merancakkan pembangunan di Sarawak.

"Dengan kepakaran Opus dalam pengurusan projek dan reka bentuk kejuruteraan, kami yakin objektif kami untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan taraf hidup rakyat Sarawak akan tercapai," kata Abdul Hadi dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Chan berkata, pihaknya berbangga dapat bekerjasama dengan PCSB dalam usaha berterusan syarikat untuk menyediakan perkhidmatan terbaik dan berkualiti kepada pelanggan dan pihak berkepentingan.

Beliau berkata, pihaknya berharap melalui kerjasama sinergi itu dapat membantu dalam pembangunan Sarawak untuk mencapai status ekonomi maju menjelang 2030 dan turut mengharapkan hubungan yang lebih bermanfaat antara UEM Edgenta dan Kerajaan Negeri Sarawak.

Melalui kerjasama strategik itu, kedua-dua pihak akan mengadakan kerjasama dalam tempoh lima tahun akan datang dengan memberi tumpuan kepada pertukaran inovasi untuk membangun dan membina keupayaan kejuruteraan teknikal merentasi sektor komersial, perindustrian dan sosioekonomi Sarawak.

Berita Harian X