Isnin, 28 Februari 2022 | 6:26pm
FGV Holdings Bhd
FGV Holdings Bhd

Keuntungan FGV melonjak kepada RM1.17 bilion

KUALA LUMPUR: Keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) FGV Holdings Bhd (FGV) melonjak lapan kali ganda kepada RM1.17 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021, berbanding hanya RM146 juta yang direkodkan tahun sebelumnya.

Prestasi luar biasa yang diraih FGV itu disokong pendapatan tahunan lebih tinggi yang meningkat 39 peratus kepada RM19.57 bilion, rekod tertinggi pernah dicatatkan berbanding RM14.07 bilion pada 2020.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Mohd Nazrul Izam Mansor, berkata keuntungan operasi FGV meningkat kepada RM1.79 bilion pada tahun kewangan 2021 berbanding RM603 juta tahun sebelumnya, didorong oleh harga minyak sawit mentah (MSM) yang lebih kukuh dan prestasi lebih baik daripada sektor gula dan logistik.

"Purata harga MSM yang direalisasikan pada tahun kewangan 2021 meningkat sebanyak 37 peratus kepada RM3,671 satu tan berbanding RM2,675 pada tahun kewangan 2020," katanya.

FGV mengumumkan pembayaran dividen akhir sebanyak 8.0 sen sesaham, dengan jumlah keseluruhan pembayaran dividen sebanyak RM291.85 juta.

Sementara itu, bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2021, FGV mencatatkan peningkatan PATAMI sebanyak RM465 juta, lebih tiga kali ganda daripada RM131 juta yang dicatatkan pada suku sama 2020.

Bagi suku dikaji, pendapatan FGV meningkat 54 peratus tahun ke tahun kepada RM6.18 bilion, manakala keuntungan operasi meningkat kepada RM633 juta berbanding RM222 juta yang dicatatkan pada tahun sebelumnya.

Mohd Nazrul berkata, keuntungan operasi yang lebih tinggi terutama disebabkan oleh peningkatan dalam margin produk sawit berikutan harga purata MSM yang lebih tinggi, pengurangan kos MSM ke pintu kilang dan kadar pengendalian yang lebih baik untuk perniagaan pukal serta pengangkutan.

"Sektor perladangan FGV, perniagaan utama kumpulan yang membentuk sebahagian besar portfolio perniagaannya, merekodkan prestasi yang lebih kukuh pada suku keempat tahun kewangan 2021 dengan jumlah keuntungan operasi sebanyak RM716 juta dan pendapatan sebanyak RM5.41 bilion sebelum perjanjian pajakan tanah (LLA) serta rosot nilai.

"Ini adalah peningkatan ketara masing-masing sebanyak 87 peratus dan 65 peratus berbanding suku yang sama sebelumnya, disumbangkan oleh harga MSM yang lebih tinggi dan jumlah pengeluaran MSM yang lebih baik," katanya.

Keuntungan operasi sebelum LLA dan rosot nilai bagi segmen huluan di bawah sektor perladangan FGV meningkat kepada RM633 juta bagi suku dikaji, peningkatan dua kali ganda berbanding RM300 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya, disokong oleh margin produk sawit yang lebih tinggi yang diperoleh daripada harga purata MSM lebih tinggi iaitu RM4,194 satu tan pada suku keempat tahun kewangan 2021 berbanding RM3,059 pada suku sama tahun sebelumnya

Bagi operasi huluan pula, FGV melaporkan sedikit peningkatan sebanyak satu peratus dalam kedua-dua pengeluaran tandan buah segar (TBS) dan hasil kepada 1.05 juta tan dan 4.16 tan setiap hektar pada suku keempat 2021 berbanding suku yang sama tahun sebelumnya, seiring dengan penambahbaikan hasil daripada pokok kelapa sawit yang matang dan muda.

Pengeluaran MSM kumpulan pula meningkat sebanyak lima peratus tahun ke tahun kepada 0.73 juta tan, manakala kadar pengekstrakan minyak meningkat satu peratus tahun ke tahun kepada 21.05 peratus untuk suku yang ditinjau, didorong oleh peningkatan TBS yang diproses dan prestasi kilang yang lebih baik berikutan kawalan proses yang ketat.

Berita Harian X