Ahad, 27 Februari 2022 | 12:59pm
UEM Edgenta Bhd
UEM Edgenta Bhd

UEM Edgenta tinjau peluang kembang perniagaan

KUALA LUMPUR: UEM Edgenta Bhd sedang meneroka lebih banyak peluang untuk mengembangkan perniagaannya dalam bahagian perkhidmatan sokongan penjagaan kesihatan (HSS) tahun ini selepas memperoleh jumlah kontrak yang banyak pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Syahrunizam Samsudin, berkata HSS mewakili 68 peratus kontrak baharu yang diperoleh UEM Edgenta pada 2021 daripada segi sumbangan pertumbuhan dan segmen itu menyumbang 76 peratus dalam pertumbuhan hasilnya tahun lalu.

"HSS adalah pasaran yang semakin berkembang, segmen ini menyumbang kira-kira RM705 juta dalam kontrak yang diperoleh pada 2021 daripada sejumlah RM1.03 bilion kontrak baharu yang diperoleh secara global, kebanyakannya didorong oleh kontrak baharu perniagaan kami di Singapura dan Taiwan.

"Pada masa yang sama, kami sedang meninjau lebih banyak peluang dalam perkhidmatan hospital atau penjagaan kesihatan yang membolehkan UEM Edgenta menjadi serba boleh dalam pelbagai bidang bagi memenuhi permintaan pasaran," katanya dalam taklimat media mengenai keputusan tahun kewangan tahun 2021 syarikat itu yang diadakan secara maya, baru-baru ini.

Syarikat pengurusan aset dan penyelesaian infrastruktur itu melaporkan bahawa keuntungan bersihnya naik kepada RM42.40 juta untuk tahun kewangan 2021 berbanding RM12.89 juta pada tahun sebelumnya.

Hasil syarikat itu meningkat 13 peratus kepada RM2.29 bilion daripada RM2.03 bilion sebelumnya kebanyakannya didorong oleh pengembangan dalam HSS.

Bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2021, keuntungan bersih UEM Edgenta meningkat kepada RM20.43 juta dengan hasil RM699.22 juta berbanding keuntungan bersih RM9.15 juta dan hasil RM571.89 juta pada suku ketiga tahun kewangan 2021.

Penyumbang prestasi utama syarikat iaitu bahagian HSS mencatatkan peningkatan 19.4 peratus dalam hasil daripada RM359.5 juta pada suku sebelumnya kepada RM429.2 juta pada suku keempat tahun kewangan 2021, manakala keuntungan sebelum cukai syarikat itu meningkat kepada RM28.8 juta daripada RM28.1 juta.

Bahagian itu juga mencatatkan pertumbuhan hasil positif sebanyak 16.2 peratus daripada RM1.2 bilion pada tahun kewangan 2020 kepada RM1.4 bilion pada tahun kewangan 2021.

Menurut Syahrunizam, nilai perolehan kontrak UEM Edgenta pada akhir 2021 berjumlah RM10.8 bilion, sebahagian besarnya didorong oleh segmen perkhidmatan infrastruktur pada 65.6 peratus walaupun HSS adalah pasaran yang berkembang pada 27.8 peratus.

"Ini memberi petunjuk jelas bahawa kami sudah kembali dalam fasa pemulihan dan sudah pasti dengan kontrak baharu sebanyak RM1 bilion pada 2021, ia meletakkan kami dalam kedudukan yang sangat baik untuk mula bangkit semula daripada prestasi kewangan tahun sebelumnya," tambahnya.

Melangkah ke hadapan, Syahrunizam berkata, syarikat itu juga akan memberi lebih tumpuan kepada pengurusan kos dengan isu seperti kos pembekal dan kos bahan serta kos sumber manusia yang perlu diseimbangkan.

"Pada masa yang sama, kami ingin memastikan UEM Edgenta terus menjadi salah satu syarikat terkemuka dalam pengurusan aset dengan mematuhi sepenuhnya agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG)," katanya.

-BERNAMA

Berita Harian X