Jumaat, 25 Februari 2022 | 10:34pm
Kompleks membeli belah Subang Parade antara hartanah di bawah portfolio Hektar REIT.
Kompleks membeli belah Subang Parade antara hartanah di bawah portfolio Hektar REIT.

Pendapatan 2021 Hektar Reit susut 13.1 peratus

KUALA LUMPUR: Hektar Asset Management Sdn Bhd, pengurus Hektar Real Estate Investment Trust (Hektar REIT), mengumumkan perolehan tahun kewangan berakhir 2021 sebanyak RM96.60 juta, susut 13.1 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Hektar REIT dalam kenyataannya berkata, perbelanjaan operasi hartanah mengurang sebanyak RM8.59 juta atau penjimatan 14.8 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Manakala pendapatan bersih hartanah (NPI) adalah sebanyak RM47.02 juta, susut 11.2 peratus berbanding 2020.

"Tahun kewangan 2021 merupakan tahun mencabar bagi sektor peruncitan disebabkan pandemik COVID-19 dan pelaksanaan beberapa Perintah Kawalan Pergerakan, Pelan Pemulihan Negara, sekatan perjalanan dan penutupan perniagaan tidak penting untuk tempoh yang panjang. Di sebalik cabaran tersebut kepada pusat-pusat beli-belah, REIT mampu menarik penyewa baharu dan mengekalkan yang sedia ada meliputi 39.2 peratus Kawasan Sewaan Bersih (NLA) Hektar REIT pada tahun kewangan 2021," kata Hektar REIT dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2021, Hektar REIT mencatat perolehan sebanyak RM24.98 juta, iaitu 16.2 peratus lebih rendah berbanding suku serupa tahun sebelumnya.

Perbelanjaan Operasi Hartanah menurun sebanyak RM4.86 juta atau penjimatan sebanyak 27.9 peratus berbanding suku tahunan sama pada tahun sebelumnya.

Hektar REIT mencatat pendapatan bersih hartanah sebanyak RM12.38 juta bagi suku di bawah kajian, yang merupakan kenaikan sedikit sebanyak 0.2 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya, manakaka pendapatan direalisasi bagi suku keempay 2021 adalah 185.5 peratus lebih tinggi iaitu RM3.21 juta berbanding RM1.12 juta yang dicatat pada suku keempat 2020.

"Pengurus menyatakan bahawa terdapat petanda pemulihan disokong oleh pembukaan perlahan-lahan ekonomi dan ia juga boleh dilihat pada peningkatan dari segi bilangan pelawat sejak larangan dilonggarkan oleh Kerajaan," katanya lagi.

Dalam pada itu, Hektar REIT mengumumkan agihan pendapatan sebanyak RM11.9 juta bagi suku keempat 2021 bersamaan 2.53 sen seunit atau hasil DPU sebanyak 4.96 peratus, iaitu 181 peratus lebih tinggi berbanding agihan pendapatan bagi tempoh sama pada 2020.

Dalam suku tahunan yang dikaji, saiz dana Hektar REIT bertambah kepada 471,260,178 unit daripada 461,960,178 unit berikutan proses penempatan persendirian yang diumumkan pada 15 November 2021.

Sejumlah 9.30 juta unit daripada keseluruhan cadangan penempatan persendirian sebanyak 23.098 juta telah dilaksanakan di dalam dua peringkat pada Disember 2021, menjana RM4.23 juta.

Penempatan persendirian itu secara keseluruhannya membantu operasi harian Hektar REIT dengan memberikan lebih fleksibiliti dari segi aliran tunai pengurusan.

Berita Harian X