Khamis, 24 Februari 2022 | 9:57pm
UEM Edgenta Bhd
UEM Edgenta Bhd

Untung bersih UEM Edgenta naik tiga kali ganda

KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih UEM Edgenta Bhd melonjak tiga kali ganda kepada RM43.8 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 daripada RM14.4 juta pada tahun kewangan 2020.

Ia sekali gus membolehkannya menyambung semula pembayaran dividen interim satu peringkat sebanyak tiga sen sesaham.

Bagi tahun kewangan 2021, peningkatan perolehan adalah 13 peratus kepada RM2.3 bilion daripada RM2 bilion pada tahun kewangan 2020, menurutnya dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia pada Khamis.

Keuntungan bersih ternormal pada tahun kewangan 2021 yang membabitkan terutama perkhidmatan dan penyelesaian penjagaan kesihatan serta infrastruktur meningkat kepada RM57.7 juta daripada RM45.2 juta pada tahun kewangan 2020.

Bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2021, keuntungan bersih meningkat kepada RM20.7 juta daripada RM8.7 juta yang dicatatkan pada suku ketiga, manakala perolehan melonjak kepada RM699.2 juta daripada RM571.9 juta.

"Strategi 'Edgenta of the Future 2025' (EoTF 2025) memberi manfaat kepada kami pada 2021 dengan menentukur semula keutamaan yang akan terus membantu membina masa depan yang mampan untuk syarikat.

"Tumpuan tanpa henti dalam usaha mengembangkan jejak global, pendekatan berdisiplin dalam memacu kecekapan kos dan mempelbagaikan kepada aliran perolehan baharu membolehkan syarikat mengakhiri tahun ini dengan prestasi kukuh di samping melangkah memasuki 2022 dengan asas kalis masa hadapan di seluruh operasi kami," kata Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Syahrunizam Samsudin.

Beliau berkata, UEM Edgenta gembira dapat menyambung semula pembayaran dividen tahun ini, bukti kepada janji syarikat untuk mendukung dasar dividennya.

Seiring dengan dasar nisbah pembayaran dividen pada 50 hingga 80 peratus daripada keuntungan selepas cukai dan kepentingan bukan kawalan (PATANCI), lembaga pengarah mengisytiharkan dividen interim bagi tahun itu sebagai menghargai sokongan dan kepercayaan berterusan yang diberikan pemegang saham.

"Kami akan meneruskan komitmen untuk memberikan pulangan yang mampan," katanya.

Pada tahun yang dinilai, UEM Edgenta memperoleh kontrak baharu merentas pelbagai geografi, perniagaan dan sektor baharu berjumlah RM1 bilion, dalam persekitaran operasi yang mencabar, meliputi kira-kira 70 peratus dalam sokongan penjagaan kesihatan dan 55 peratus daripada perniagaan antarabangsa.

Antara yang diperoleh adalah kontrak perkhidmatan pengurusan kemudahan bersepadu untuk Emirates Golf Club dan Jumeirah Golf Estates di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE); kontrak perkhidmatan insaniah Taiwan Semiconductor Manufacturing Company di Taiwan serta untuk beberapa hospital di Singapura dan Taiwan.

Dalam menerajui ruang inovasi dan teknologi, UEM Edgenta menempatkan beberapa penyelesaian dan perkhidmatan yang diupayakan oleh teknologi sepanjang tahun itu untuk menyokong pelanggannya, terutama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ini termasuk pelancaran QuickMed dan pengesan digital RFID (pengenalan frekuensi radio) yang menjadi sebahagian daripada Sistem Pengurusan Kuarantin Rumah (HQMS) bagi membantu usaha pemulihan negara bagi membendung penularan varian COVID-19 baharu.

"Kami percaya produk dan penyelesaian digital ini menyumbang kepada keselamatan dan kecekapan pengurusan pandemik dan menyebabkan pelbagai sekatan pergerakan ditarik balik serta membolehkan perniagaan ke arah kembali normal pada tahun itu.

"Pada masa sama, kami akan terus meninjau usaha bagi tujuan inovasi dan menyokong kerajaan dalam usaha memerangi pandemik dan menyumbang ke arah pembukaan semula ekonomi serta sempadan," katanya.

Syahrunizam berkata, syarikat itu turut melaksanakan ekosistem digital pertamanya Edgenta NXT, membangunkan penyelesaian bercirikan internet pelbagai benda (IoT) bagi pemilik aset seperti SmartConnect dan penyelesaian teknologi sedia ada seperti Sistem Pengurusan Aset Jalan (RAMS) bagi operasi penyelenggaraan lebuh raya.

Mengulas prospek 2022, syarikat kekal optimis dengan jangkaan pemulihan secara berperingkat ke arah persekitaran operasi dengan sekatan COVID-19 yang lebih longgar.

"Keupayaan untuk kekal berdaya tahan dan tangkas sememangnya menjadi keutamaan bagi kejayaan kami. Syarikat ini akan meneruskan usaha dalam pengoptimuman kos dan menumpukan aspek kecemerlangan operasi selain menjayakan projek-projek yang dipertanggungjawabkan.

"Kami kekal komited untuk melaksanakan strategi pertumbuhan EoTF 2025 dengan tumpuan ke atas produk dan penyelesaian baharu, berkembang ke kawasan baharu dan menjalin kerjasama serantau baharu dan pada masa sama memacu kemampanan dalam amalan pengoperasian serta tawaran perniagaan," katanya.

Sejak pandemik bermula, UEM Edgenta memanfaatkan kepakaran dan keupayaannya dalam industri sokongan penjagaan kesihatan yang menjadi sebahagian daripada penyelesaian bidang itu.

Penyumbang utama terhadap prestasi syarikat iaitu bahagian Perkhidmatan Sokongan Penjagaan Kesihatan (HSS) mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 19.4 peratus kepada RM429.2 juta dalam suku keempat tahun kewangan 2021 daripada RM359.5 juta dalam suku sebelumnya serta keuntungan sebelum cukai sebanyak RM28.8 juta daripada RM28.1 juta dalam suku sebelum ini.

Bahagian itu turut mencatat pertumbuhan hasil yang positif sebanyak 16.2 peratus kepada RM1.4 bilion dalam tahun kewangan 2021 daripada RM1.2 bilion pada tahun kewangan 2020.

Syahrunizam berkata, strategi syarikat yang berkembang kepada penyelesaian pengurusan pandemik dan penyampaian penjagaan kesihatan digital juga semakin mendapat tarikan serta menyumbang kepada pertumbuhan hasil.

Dalam tahun kewangan 2022, bahagian HSS akan terus menyelesaikan kontrak sedia ada sambil mempelbagaikan penyelesaian melangkaui tawaran penjagaan kesihatan tradisional bagi menyokong usaha negara membendung virus COVID-19 selain memastikan kecekapan dalam semua hospital di bawah kendaliannya.

Selepas mengakhiri tahun kewangan 2021 dengan lebih kukuh susulan pemulihan pasaran, UEM Edgenta akan terus memberi tumpuan dalam memacu daya tahan dan kemampanan jangka panjang berteraskan nilai perolehan kontrak yang positif serta wawasan EoTF 2025.

Syarikat juga secara aktif meletakkan asas kukuh dalam semua perniagaannya dan kekal gigih menjayakan rancangan pertumbuhan menerusi pengembangan geografi, produk dan perkhidmatan baharu, pengoptimuman kos dan penyelesaian yang diupayakan oleh teknologi.

-BERNAMA

Berita Harian X