Khamis, 24 Februari 2022 | 8:55pm
Sime Darby Property Bhd
Sime Darby Property Bhd

Sime Darby Property kembali untung

KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih Sime Darby Property Bhd untuk tahun penuh berakhir 31 Disember 2021 melonjak sebanyak 127 peratus kepada RM136.9 juta berbanding kerugian bersih berjumlah RM501.57 juta yang direkodkan pada tempoh yang sama tahun lalu.

Pendapatan naik 7.6 peratus kepada RM2. 22 bilion daripada RM2.06 bilion.

Syarikat dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, ia mencatatkan jualan sebanyak RM3 bilion pada tahun dikaji, melangkaui sasaran jualan kumpulan tahun kewangan 2021 pada RM2.4 bilion, kenaikan ketara berjumlah 50 peratus dari tahun ke tahun berbanding tahun sebelumnya.

Kumpulan hartanah itu juga mencatatkan angka pelancaran baharu yang paling tinggi dengan 3,594 unit hartanah dalam nilai pembangunan kasar (GDV) RM3.7 bilion serta kadar pengambilan yang agak signifikan iaitu 87 peratus untuk pelancaran tahun kewangan 2021.

Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Azmir Merican mengulas, pencapaian jualan dan kewangan yang cemerlang ini adalah disebabkan tumpuan syarikat terhadap pertumbuhan dan disiplin kos sepanjang tahun kewangan 2021.

"Kami menyedari cabaran yang dibentangkan oleh pandemik COVID-19 pada tahun lalu dan fokus dalam meminimumkan gangguan ke atas perniagaan, yang membolehkan pelanggan terus berhubung dengan wakil jualan serta perkhidmatan pelanggan kumpulan.

"Kami juga menyesuaikan diri dengan keadaan pasaran untuk memberikan nilai melalui produk berkualiti pada tahun kewangan 2022 dan seterusnya," katanya.

Segmen pembangunan hartanah syarikat menyaksikan peningkatan 7.7 peratus dari tahun ke tahun dengan pendapatan mencecah RM2.07 bilion, menyumbang 93.2 peratus kepada jumlah hasil kumpulan.

"Secara keseluruhan, pencapaian segmen terbabit adalah disebabkan oleh kemajuan pembinaan serta jualan pelancaran baharu selain menyelesaikan produk kediaman termasuk perindustrian merentasi perbandaran utama di Lembah Klang dan Negeri Sembilan," katanya.

Segmen pengurusan pelaburan dan aset menyumbang RM94.7 juta kepada perolehan, yang dirangsang oleh KL East Mall manakala segmen rekreasi mencatatkan pendapatan sebanyak RM55.5 juta.

Bergerak ke hadapan, kumpulan akan meneruskan pelancaran baharu yang strategik bernilai RM2.8 bilion dalam GDV sepanjang tahun kewangan 2022, di antaranya ialah City of Elmina, Bandar Bukit Raja, Serenia City, Bandar Ainsdale, Nilai Impian dan KL East serta produk bertingkat tinggi dengan GDV bernilai RM156 juta di Putra Heights.

-BERNAMA

Berita Harian X