Khamis, 24 Februari 2022 | 7:29pm
Genting Malaysia Bhd - Foto Reuters
Genting Malaysia Bhd - Foto Reuters

Genting Malaysia rugi RM946 juta

KUALA LUMPUR: Genting Malaysia Bhd mencatatkan kerugian bersih RM946.83 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021, lebih kecil berbanding kerugian bersih RM2.26 bilion setahun sebelumnya.

Pengendali hotel dan kasino itu kembali mencatatkan keuntungan bersih pada suku keempat tahun kewangan dikaji.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Genting Malaysia berkata ia mencatatkan keuntungan bersih RM174.12 juta pada suku keempat berakhir 31 Disember 2021, berbanding kerugian bersih RM240.85 juta dalam suku sama tahun sebelumnya.

Hasil lebih tinggi itu disumbangkan oleh perniagaan rekreasi dan hospitaliti di Malaysia sebanyak RM317.2 juta atau 49 peratus, terutama daripada peningkatan volum perniagaan segmen perjudian dan perjudian selepas Resorts World Genting menyambung semula operasi pada 30 September 2021 dan disusuli dengan penamatan sekatan rentas negeri sejak 11 Oktober 2021.

Dalam pada itu, Lembaga Pengarah mengumumkan dividen khas satu peringkat sebanyak sembilan sen sesaham biasa yang akan dibayar pada 31 Mac 2022.

"Walaupun prospek pelancongan antarabangsa semakin pulih, ketidaktentuan membabitkan perkembangan COVID-19 akan terus memberi cabaran terhadap perjalanan global.

"Namun, kadar vaksinasi yang lebih tinggi di peringkat global dan pengenalan pasport vaksin di negara tertentu akan menyokong pemulihan industri pelancongan, rekreasi dan hospitaliti, termasuk sektor perjudian serantau," katanya.

Dalam persekitaran itu, syarikat kekal optimis terhadap prospek jangka panjang terhadap industri rekreasi dan hospitaliti, namun kekal berhati-hati terhadap peningkatan penularan varian COVID-19.

Berita Harian X