Khamis, 24 Februari 2022 | 10:18am
Malakoff Corporation Bhd
Malakoff Corporation Bhd

Malakoff rekod untung bersih RM254.55 juta

KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih Malakoff Corporation Bhd menyusut kepada RM254.55 juta pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 berbanding RM286.58 juta yang dicatatkan semasa tahun sebelumnya.

Perolehan menokok tiga peratus kepada RM6.46 bilion daripada RM6.28 bilion disumbangkan oleh pembayaran tenaga yang lebih tinggi daripada Tanjung Bin Power Sdn Bhd didorong peningkatan harga arang batu (ACP), tetapi diimbangi oleh pembayaran tenaga yang lebih rendah yang direkodkan daripada loji tenaga gas selepas berlaku penurunan dalam faktor penghantaran.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Anwar Syahrin Abdul Ajib, berkata pengekalan prestasi kumpulan dalam tahun kewangan yang ditinjau membuktikan fokusnya yang berterusan untuk mengoptimumkan kecemerlangan operasi di seluruh aset sedia ada selain terus melaksanakan strategi pertumbuhan.

"Tenaga yang boleh diperbaharui dan penyelesaian alam sekitar akan menjadi pemacu pertumbuhan utama Malakoff selepas syarikat mula beralih kepada ekonomi yang lebih bersih dan ekonomi kitaran," katanya dalam satu kenyataan berasingan.

Malakoff berjaya meraih pengkomersilan operasi projek solar di atas bumbung untuk Pos Malaysia Bhd, DRB-HICOM Bhd dan UMW Holdings dengan jumlah kapasiti 11 MWp.

"Kumpulan terus mempercepatkan pengembangannya dalam projek solar di atas bumbung seiring dengan kerjasama kami dengan pelanggan utama bagi menyokong agenda kelestarian mereka dengan memanfaatkan tenaga daripada sumber yang lebih mesra alam.

"Bercakap mengenai penyelesaian alam sekitar, pembinaan fasiliti pembuangan sisa Alam Flora Sdn Bhd di Pahang dijangka beroperasi sepenuhnya menjelang akhir suku pertama 2022.

"Kemudahan dengan kapasiti 120 tan sehari ini adalah sebahagian daripada inisiatif kumpulan bagi meneroka aliran pendapatan baharu melalui sisa lengai," katanya.

-BERNAMA

Berita Harian X