Rabu, 23 Februari 2022 | 9:47pm
UEM Sunrise Bhd
UEM Sunrise Bhd

UEM Sunrise catat kerugian lebih kecil

KUALA LUMPUR: Kerugian bersih UEM Sunrise Bhd berkurangan kepada RM214.33 juta pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 daripada RM277.28 juta pada tahun kewangan 2020.

UEM Sunrise berkata, prestasi dicatatkan itu disebabkan peruntukan rosot nilai untuk inventori serta aset dan hartanah berjumlah RM88 juta.

Hasil meningkat kepada RM1.21 bilion daripada RM1.14 bilion pada tahun kewangan 2020, didorong oleh kemajuan pembinaan yang lebih tinggi dan pengebilan terutama daripada Residensi Solaris Parq di Dutamas; Aspira ParkHomes di Gerbang Nusajaya, Iskandar Puteri; Serene Heights di Bangi dan Kiara Kasih di Mont' Kiara.

Pemaju hartanah itu berkata, hasil pada tahun kewangan 2021 turut dipacu oleh jualan inventori Estuari Gardens di Puteri Harbour, Iskandar Puteri di Johor dan penjualan beberapa plot perindustrian dalam fasa tiga Kluster Logistik dan Perusahaan Selatan kepada Pentagon Land Sdn Bhd pada Disember 2020.

Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise, Sufian Abdullah berkata pandemik COVID-19 menjejaskan operasi kumpulan itu.

"UEM Sunrise mencapai kemajuan daripada segi pemulihan dan mengurangkan kerugiannya pada separuh pertama 2021 berbanding tempoh yang sama pada tahun 2020.

"Bagaimanapun, sekatan pergerakan penuh yang dikuat kuasa pada 1 Jun 2021 memaksa kumpulan itu menghentikan aktiviti pembinaan, operasi kompleks runcit dan menutup galeri jualan," katanya dalam satu kenyataan berasingan.

Sufian berkata, pelancaran produk kumpulan itu ditangguhkan dan projek dengan jumlah nilai pembangunan kasar sebanyak RM550 juta dilancarkan pada 2021 manakala jualan belum direalisasikan setakat 31 Disember 2021 berjumlah RM2.4 bilion.

Mengenai prestasi jualan hartanahnya, Sufian berkata kumpulan itu telah melepasi sasaran RM1.2 bilion pada 2021 dan menyasar untuk mencapai jualan bernilai RM1.5 bilion pada 2022.

"Walaupun kami menjangkan cabaran akan berlaku pada masa depan, ketiadaan Kempen Pemilikan Rumah, kenaikan harga bahan binaan dan kemungkinan berlaku kenaikan kadar faedah, kami berpendapat jualan hartanah secara amnya kekal kukuh berdasarkan tempahan jualan semasa kami dan jenis produk yang kami mahu lancar tahun ini," katanya.

Sufian berkata, sentimen belian dijangka bertambah baik tahun ini sekali gus meningkatkan jualan hartanah.

Mengenai rancangan UEM Sunrise dalam tempoh terdekat ini, beliau berkata strategi pengimbangan semula portfolio perbankan simpanan tanah kumpulan itu kekal kukuh kerana ia telah mengenal pasti beberapa tanah bukan strategik untuk dijual tahun ini, kumpulan itu akan terus mendapatkan simpanan tanah baharu dengan kadar pemulihan yang pantas untuk mencipta rancangan baharu syarikat itu.

"Kemampanan juga kekal menjadi keutamaan. Kami merancang untuk mengukuhkan ideologi di seluruh organisasi selaras dengan pergerakan global semasa dan rancangan kemampanan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12," katanya.

-BERNAMA

Berita Harian X