Rabu, 23 Februari 2022 | 3:08pm
Naib Pengerusi Eksekutif Kumpulan MGB, Tan Sri Lim Hock San
Naib Pengerusi Eksekutif Kumpulan MGB, Tan Sri Lim Hock San

MGB rekod prestasi kewangan memberangsangkan

KUALA LUMPUR: MGB Bhd, anak syarikat LBS Bina Group Bhd mencatatkan keuntungan bersih RM26.52 juta bagi tahun kewangan 2021, melonjak 89.43 peratus daripada RM14 juta pada tahun kewangan sebelumnya.

Pendapatan syarikat yang terbabit di dalam pembinaan dan pembangunan hartanah itu turut meningkat kepada RM593.76 juta pada tahun kewangan dikaji, naik 5.41 peratus berbanding RM563.27 juta yang dicatatkan pada tahun kewangan 2020.

Bagi prestasi suku keempat tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021, syarikat itu merekodkan keuntungan bersih sebanyak RM10.34 juta, meningkat 79.2 peratus berbanding RM5.77 juta pada suku sama tahun 2020.

Pendapatannya pada suku dikaji turut meningkat 3.84 peratus kepada RM188.55 juta berbanding RM181.57 juta pada suku sama tahun 2020.

Menurut kumpulan itu, peningkatan positif itu adalah sebahagian daripada sumbangan projek-projek yang sedang berjalan.

Katanya, beberapa projek seperti KITA Harmoni, KITA Bayu dan LBS Skylake

Residence siap sepenuhnya pada tahun kewangan 2021.

"Di samping itu, syarikat turut berjaya menutup dan memuktamadkan akaun projek yang selesai sebelum ini dengan kontraktor utama sekaligus menyumbang kepada keputusan kewangan.

"Segmen pembinaan dan perdagangan, adalah penyumbang terbesar kepada keuntungan MGB, dengan pendapatan yang direkodkan pada tahun kewangan sebanyak RM576.95 juta berbanding RM479.14 juta pada FY2020.

"Walaupun prestasi MGB sedikit terjejas berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pendapatan secara keseluruhannya meningkat kembali apabila aktiviti pembinaan diberi kebenaran untuk beroperasi sepenuhnya pada suku keempat tahun kewangan 2021," katanya dalam kenyataan.

Naib Pengerusi Eksekutif Kumpulan MGB, Tan Sri Lim Hock San, berkata meskipun berhadapan dengan cabaran pandemik di tahun 2021, syarikat bersiap sedia sepenuhnya apabila PKP diumumkan.

"Oleh itu, saya amat gembira dengan pencapaian MGB bagi tahun 2021. Menurut tinjauan ekonomi 2022 yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan, ekonomi Malaysia dijangka terus berkembang antara 5.5 peratus hingga 6.5 peratus.

"Sungguhpun MGB masih di dalam proses pemulihan, dengan keputusan suku keempat yang dilihat meningkat berbanding trend penurunan dari suku pertama hingga suku ketiga, kami akan terus memantau pencapaian syarikat.

"Menerusi pendekatan 'Value Added Driven Technology' (VadTech), kami berhasrat untuk menyediakan penyelesaian kos yang efektif dan inovatif kepada pelanggan. Kami juga berjaya membantu pelanggan dengan segmen pembinaan yang mesra kos dan sistem IBS yang sangat efisien," katanya.

Berita Harian X