Rabu, 23 Februari 2022 | 1:53pm
Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid
Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid

Media Prima catat untung bersih RM51.6 juta

KUALA LUMPUR: Media Prima Bhd mencatatkan keuntungan selepas cukai berjumlah RM51.6 juta bagi tahun kewangan 2021, memperbaiki kerugian selepas cukai sebanyak RM18.1 juta bagi tahun dalam perbandingan pada 2020.

Ini keuntungan tahun penuh pertama kumpulan sejak tahun kewangan 2018.

Biarpun berhadapan dengan persekitaran yang mencabar disebabkan pandemik COVID-19, perolehan kumpulan meningkat sebanyak lapan peratus kepada RM1.1 bilion pada tahun kewangan 2021 berbanding RM1 bilion pada tahun kewangan 2020, dibantu oleh perolehan pengiklanan yang kukuh dari platform jualan Kumpulan, Media Prima Omnia.

Dalam tempoh kurang daripada dua tahun sejak penubuhannya, Omnia menjadi peneraju dalam pasaran setelah berjaya menggabungkan pelbagai platform kumpulan dan mencapai lebih 98 peratus penduduk Malaysia bagi menyediakan pelanggan penyelesaian jualan yang unik dan holistik.

Omnia juga bekerjasama dengan jenama global termasuk Disney+ Hotstar, Foodpanda, Lazada, Samsung dan Shopee.

Media Prima dalam kenyataannya berkata, rekod prestasi yang kukuh, bersama dengan pembukaan semula ekonomi, menggiatkan semula perolehan pengiklanan kumpulan yang meningkat sebanyak 16 peratus pada tahun kewangan 2021 berbanding tahun sebelumnya.

"Perolehan pengiklanan kumpulan yang lebih kukuh juga disokong oleh perniagaan penyiarannya yang mencatatkan pertumbuhan perolehan sebanyak 38 peratus berbanding tahun sebelumnya.

"Perolehan jualan kandungan meningkat tiga kali ganda pada tahun kewangan berbanding tahun sebelumnya, membuktikan kejayaan pelaksanaan strategi pengedaran dan program kandungan kumpulan," katanya.

Sebagai salah satu platform kandungan terbesar di Malaysia, Media Prima berkata ia bersedia untuk menjadi rakan kongsi strategik untuk platform

penstriman 'Over-The-Top' (OTT) yang sedia ada dan baharu di pasaran tempatan.

"Media Prima kekal sebagai penerbit digital terkemuka bagi audiens peranti mudah alih setelah memperoleh 15.9 juta pelawat unik pada Disember tahun kewangan 2021.

"Perniagaan digital kumpulan yang dipacu oleh REV Media Group, mencatatkan pertumbuhan perolehan sebanyak 10 peratus pada tahun kewangan berbanding tahun sebelumnya, disokong oleh perolehan pengiklanan yang lebih memberangsangkan," katanya.

Sementara itu, perniagaan penerbitan Kumpulan, New Straits Times Press (NSTP) pada tahun kewangan 2021 mencatatkan keuntungan disokong oleh kos strukturnya yang lebih optimum dan pertumbuhan dalam perolehan percetakan dan pengedaran lebih daripada 20 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Portal dalam talian milik NSTP seperti myMetro (hmetro.com.my) dan BH Online (bharian.com.my) disenaraikan sebagai portal berita dalam talian yang paling banyak dibaca di Malaysia dengan jumlah pelawat unik purata masing-masing seramai lapan juta dan 7.4 juta

Dari segi perniagaan perdagangan kumpulan, WOWSHOP mencatatkan tahun yang menguntungkan sekali lagi walaupun terdapat peningkatan dalam

pilihan membeli-belah di kedai berikutan penarikan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

WOWSHOP akan terus mempertahankan kedudukannya sebagai rangkaian perdagangan terkemuka walaupun berhadapan dengan persaingan sengit dengan memanfaatkan populariti dan capaian jenama televisyen Media

Prima, memperkukuhkan platform e-dagangnya selain menambah baik kepelbagaian dan kualiti kandungannya.

Perniagaan Pengiklanan-Luar-Rumah Kumpulan, Big Tree, bagaimanapun terkesan akibat PKP tahun lalu.

Walaubagaimanapun, Big Tree sudah mengambil langkah proaktif melaksanakan rasionalisasi aset, merangkumi kajian semula aset yang tidak menunjukkan prestasi memberangsangkan dan mengakibatkan penjejasan nilai secara sekali saja.

Big Tree akan menumpukan pada tapak struktur yang mempunyai permintaan tinggi dan juga akan mengekalkan kelebihan daya saingnya sebagai peneraju penyedia penyelesaian Pengiklanan-Luar-Rumah yang terkemuka.

Media Prima turut mengumumkan keputusan bagi tiga bulan berakhir 31 Disember 2021.

Keuntungan bersih kumpulan meningkat sebanyak 53 peratus pada suku dikaji berbanding suku keempat perbandingan.

Ini adalah prestasi keuntungan kumpulan yang paling kukuh (tidak termasuk butiran berkecuali pada tahun-tahun lalu seperti yang direkodkan pada tahun kewangan 2018) sejak suku keempat tahun kewangan 2015.

Media Prima kekal sebagai syarikat konstituen FTSE4Good Index Series Bursa Malaysia berikutan penilaiannya pada Disember 2021.

Ini adalah pengesahan kuat terhadap komitmennya untuk memastikan amalan Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) yang meliputi seluruh kumpulan.

Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid, berkata tahun kewangan 2021 adalah tahun yang cemerlang bagi kumpulan.

"Kami melepasi sasaran perolehan dan keuntungan tahun kewangan dan amat berbangga dengan kejayaan ini. Walaupun berdepan dengan cabaran yang menjejaskan industri media dan juga kesan pandemik COVID-19, perolehan pengiklanan kami meningkat daripada tahun sebelumnya, diterajui oleh pasukan jualan kami yang efektif di bawah Omnia.

"Segmen digital dan perdagangan kami kekal kukuh meskipun persaingan daripada syarikat lain dan trend media yang sentiasa berubah. Semua ini menyemarakkan keyakinan kami terhadap masa depan Media Prima dan

mewujudkan asas yang kukuh untuk perkembangan kumpulan.

"Memandangkan lebih banyak sektor ekonomi dibuka semula pada 2022, kami akan melangkah lebih jauh dan terus berusaha lebih lagi kepada audiens dan pengiklan," katanya.

Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Rafiq Razali, berkata 2021 adalah tahun yang mencabar bagi semua namun ia menjadi satu rekod pencapaian terbaik bagi kumpulan sepanjang enam tahun ini.

"Ini adalah tahun pertama kami mencatatkan keuntungan kumpulan sejak tahun kewangan 2015 walaupun tahun kewangan 2018 merekodkan keuntungan disebabkan penjualan aset hartanah kumpulan.

"Pencapaian suku keempat tahun kewangan 2021 kumpulan bukan sahaja keuntungan suku tahunan yang keenam berturut-turut, tetapi juga merekodkan keuntungan bersih dinormalisasi yang terbaik sejak suku keempat tahun kewangan 2015.

"Selain itu, kami kekal sebagai pilihan nombor satu Malaysia untuk kandungan peranti mudah alih berbanding pesaing yang lebih besar. Kami juga berbesar hati melihat tanda pemulihan bagi perniagaan penerbitan yang merekodkan peningkatan dalam perolehan percetakan dan pengedaran. Ini adalah satu pencapaian besar buat kami dan amat berbangga dengan kerja keras pasukan," katanya.

Lembaga Pengarah Kumpulan mengisytiharkan pembayaran dividen pertama dan terakhir sebanyak 1.5 sen sesaham biasa untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021.

Media Prima berkata, ia akan mengekalkan momentum ini dengan menambahkan inisiatif penjanaan perolehan kepada perniagaan pengiklanan, digital dan perdagangan.

"Kami akan menambah lebih banyak kerjasama strategik untuk mendorong kejayaan kumpulan, sambil meningkatkan kelebihan daya saing," katanya.

Berita Harian X