Ahad, 20 Februari 2022 | 1:10pm
Perjanjian ditandatangani oleh Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin (Kiri, kedua) dan Ketua Pegawai Pelanggan (SME & Residential) TNB, Raja Datuk Abd Jalil Bin Raja Zaid (paling kanan); dan disempurnakan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad (tengah), Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi (paling kiri) serta Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga , Air dan Pengangkutan Awam, Datuk Mohd Zolkafly Harun (kanan, dua).
Perjanjian ditandatangani oleh Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin (Kiri, kedua) dan Ketua Pegawai Pelanggan (SME & Residential) TNB, Raja Datuk Abd Jalil Bin Raja Zaid (paling kanan); dan disempurnakan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad (tengah), Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi (paling kiri) serta Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga , Air dan Pengangkutan Awam, Datuk Mohd Zolkafly Harun (kanan, dua).

TNB, MBI jalin kerjasama jadikan Ipoh bandar rendah karbon

 

KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Bhd (TNB) menjalin kerjasama strategik dengan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) bagi membekalkan produk dan perkhidmatan kecekapan tenaga serta penyelesaian tenaga boleh baharu (RE) bagi mempromosikan kehidupan lestari serta hijau. 

 

Ia meliputi pemasangan sistem solar fotovoltaik, lampu jalan pintar LED, sistem prestasi tenaga dan sistem pemantauan, ekosistem pengecasan kenderaan elektrik dan meter pintar yang menjadi antara komponen menjadikan Ipoh Bandaraya Pintar. 

 

Memorandum Persefahaman (MoU) mengenainya di antara TNB dan MBI serta Perjanjian  Bekalan untuk Tenaga Boleh Diperbaharui (SARE) bersama anak syarikat milik penuh TNB, GSPARX ditandatangani sempena Majlis Pelancaran Pelan Perancangan Strategik MBI, Ipoh Bandar Raya Rendah Karbon dan Walkable City 2030 pada 9 Februari lalu. 

 

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir Baharin Din, berkata TNB menghargai kerjasama kukuh yang telah dibina selama ini dengan MBI dan pihaknya percaya inisiatif terbaharu itu amat penting untuk membantu bandaraya Ipoh.

 

"Melalui perancangan teliti dan perkongsian kepakaran di seluruh TNB, kami yakin dapat menunaikan janji kami untuk mewujudkan persekitaran yang kondusif bagi menyokong kedua-dua aspek ekonomi dan kebajikan sosial penduduk Ipoh dalam mencapai Pelan 

Tindakan Bandar Pintar Ipoh 2020-2030," katanya dalam satu kenyataan.

 

Sementara itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, berkata MBI berhasrat menjadikan Ipoh sebagai Bandaraya Rendah Karbon selaras dengan aspirasi kerajaan Malaysia yang ingin melihat kesemua 154 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh negara melaksanakan inisiatif berkenaan.

 

Beliau berkata, matlamat utama inisiatif itu adalah untuk mengurangkan intensiti pelepasan karbon di seluruh negara selaras dengan komitmen kerajaan untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau sebanyak 45 peratus menjelang 2030.

 

Kerjasama TNB dan MBI ke arah itu bermula Januari tahun lalu melalui program Smart City  Blueprint yang mana MBI, TNB dan GSPARX, telah menandatangani SARE bagi pemasangan solar panel fotovoltaik di bangunan Pusat Transformasi Bandar (UTC). 

 

Pemasangan itu disiap pada Julai 2021 dengan memberi penjimatan bil elektrik hingga RM2.5 juta kepada MBI bagi tempoh 21 tahun. 

 

MoU terbaru itu pula, bakal meluaskan lagi pembabitan TNB dalam membawa kehidupan lebih sejahtera kepada penduduk Bandaraya Ipoh dalam suasana lebih kondusif sejajar aspirasi TNB, Better World, Brighter Lives sebagai pembekal terunggul bagi penyelesaian tenaga mampan di Malaysia dan antarabangsa.

 

Berita Harian X