Ahad, 13 Februari 2022 | 1:27pm
Peningkatan kadar kargo udara didorong kapasiti muatan yang berkurangan, gangguan rantaian bekalan dan permintaan yang lebih tinggi untuk e-dagang - Foto hiasan
Peningkatan kadar kargo udara didorong kapasiti muatan yang berkurangan, gangguan rantaian bekalan dan permintaan yang lebih tinggi untuk e-dagang - Foto hiasan

Kenaikan kadar udara untungkan MASkargo, Raya Airways

KUALA LUMPUR: Peningkatan kadar kargo udara memberikan kelebihan kepada dua syarikat penerbangan, MASkargo dan Raya Airways merekodkan keuntungan yang lebih tinggi.

Penganalisis Maybank Investment Bank Bhd, Yin Shao Yang, berkata pada tahun kewangan 2018, MASkargo hanya menjana keuntungan bersih sebanyak RM33.2 juta manakala Raya Airways pula berada dalam julat kerugian.

Bagaimanapun, katanya situasi itu berubah drastik pada tahun kewangan 2020 dengan MASkargo dan Raya Airways masing-masing merekodkan keuntungan bersih sebanyak RM351.1juta dan RM99.7 juta.

Beliau berkata, kadar keuntungan kedua syarikat itu dijangka terus meningkat pada tahun kewangan 2021 berdasarkan kepada lonjakan ketara kadar kargo udara.

"Pada pandangan kami, Raya Airways perlu diberi perhatian kerana ia hanya mengendalikan empat pesawat kargo tetapi berjaya menjana hampir RM100 juta dalam keuntungan bersih teras 2020.

"Syarikat penerbangan kargo itu berkemungkinan menjana lebih banyak keuntungan pada tahun kewangan 2021," katanya dalam satu nota penyelidikan.

Shao Yang berkata, pandemik COVID-19 yang melanda global menyebabkan kadar kargo udara berada pada paras tertinggi sejak beberapa tahun.

Beliau berkata, peningkatan ini didorong oleh kapasiti muatan yang berkurangan, gangguan rantaian bekalan dan permintaan yang lebih tinggi untuk e-dagang dan peralatan perlindungan peribadi.

Katanya, kadar kargo udara adalah penerima langsung daripada gangguan yang berlaku disebabkan oleh COVID-19 yang berterusan.

Selain itu, katanya, segmen kargo udara bakal mempunyai peserta baharu iaitu AirAsia X (AAX) kerana syarikat itu pada 26 Januari lalu mengumumkan kerjasama logistik udara baharu yang besar dengan GEODIS.

Kerjasama itu, katanya akan dapat menyediakan kapasiti kargo udara yang besar.

"Muncul daripada penstrukturan semula hutang, AAX dijangka akan mengurangkan saiz armadanya kepada 13 pesawat tetapi hakikatnya, ia masih lebih banyak berbanding Raya Airways.

"Ia menjadikan AAX berkemungkinan menjadi penerima manfaat utama daripada kadar kargo udara yang tinggi," katanya.

Ketika ini. hanya lima pesawat AAX beroperasi dan menjangkakan jumlah itu akan meningkat pada pertengahan 2022.

AAX juga percaya bahawa ia boleh merekodkan keuntungan dengan hanya enam pesawat beroperasi.

Berita Harian X