Jumaat, 4 Februari 2022 | 2:10pm
Taman tema Genting Skyworlds
Taman tema Genting Skyworlds

Genting SkyWorlds mampu jana RM290 juta setahun

KUALA LUMPUR: Taman tema Genting Skyworlds dijangka mampu menyumbang di antara RM210 juta hingga RM290 juta kepada pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) tahunan Genting Malaysia Bhd (GENM), berdasarkan kepada anggaran 10,000 pengunjung sehari.

RHB Research dalam nota kajiannya berkata, Genting SkyWorlds akan mempercepatkan trend pemulihan perniagaan GENM kerana ia bakal menjadi tarikan orang ramai dan menyediakan aliran pendapatan baharu selain turut memanfaatkan kemudahan lain dalam Resorts World Genting (RWG).

"Kami difahamkan akan ada diskaun 20 peratus untuk harga tiket semasa pra-pelancaran awal memandangkan terdapat beberapa daya tarikan masih lagi menjalani proses pentauliahan terakhir dan tidak tersedia untuk orang awam.

"Taman tema ini mungkin akan beroperasi mengikut kapasiti 50 peratus

berbanding kapasiti penuh 20,000 pelawat pada satu-satu masa terlebih dulu disebabkan oleh prosedur standard operasi (SOP) yang ditetapkan," katanya.

Mengulas lanjut, RHB Research berkata adalah difahamkan bahawa

pemulihan perniagaan keseluruhan RWG pada suku keempat 2021 adalah kukuh walaupun terdapat sedikit gangguan daripada tanah runtuh pada Disember 2021.

"Meskipun kehadiran pengunjung di SkyAvenue semasa kami mengadakan lawatan tapak baru-baru ini adalah kelihatan lebih rendah, ia mungkin disebabkan oleh pada hari biasa.

"Kami percaya perniagaan RWG akan terus pulih dengan kukuh, terutama sebaik sahaja Genting SkyWorlds dibuka kerana ia sepatutnya menjadi tarikan orang ramai dan memanfaatkan kemudahan lain dalam RWG melalui kehadiran yang lebih tinggi," katanya.

Mengenai kes membabitkan Genting Hong Kong (GENHK), firma penyelidikan itu berkata, mereka berpendapat bahawa ia tidak akan menjejaskan GENM kerana konglomerat tempatan itu tidak mempunyai sebarang pegangan dalam GENHK.

"Malahan, pemegang saham minoritinya berkemungkinan menolak sebarang cadangan yang berpotensi iaitu berkaitan dengan menyelamatkan GENHK," katanya.

Berita Harian X