Jumaat, 28 Januari 2022 | 5:12pm

UEM Sunrise raih jualan RM1.46 bilion

KUALA LUMPUR: Selepas mencatatkan jualan sebanyak RM1.46 bilion pada 2021, melepasi sasarannya sebanyak RM1.2 bilion, pemaju hartanah UEM Sunrise Bhd kini meningkatkan sasaran jualan 2022 kepada RM1.5 bilion.

Pemaju itu dalam satu kenyataan berkata, ia merancang melancarkan projek-projek bernilai RM3.3 bilion dalam nilai pembangunan kasar (GDV), melibatkan 3,526 unit hartanah pada 2022.

Kenyataan itu berkata ia akan mengaktifkan kawasan seluas 1.3 ekar di Australia, yang membabitkan projek pembangunan bercampur di Collingwood, Melbourne dengan jangkaan GDV A$250 juta.

UEM Sunrise berkata ia juga mempunyai rancangan pelancaran yang agresif sekitar pertengahan tahun 2022.

Syarikat akan terus melancarkan fasa baharu projek-projek popular seperti di Serene Heights Bangi dan Senadi Hills, serta produk bertemakan Aspira di Iskandar Puteri, selain rancangan untuk melancarkan projek-projek baharu di pasaran.

Bagi tahun 2021, UEM Sunrise menjual 1,595 unit hartanah dan mencatatkan jualan bernilai RM1.46 bilion di sebalik pandemik yang melanda dan pengurangan pelancaran projek-projek baharu.

Pembangunan di Lembah Klang termasuk Residensi Ava di Kiara Bay dan Residensi Allevia, menjadi penyumbang utama, masing-masing merekodkan nilai jualan sebanyak RM438.4 juta dan RM215.7 juta, menguasai 45 peratus daripada jualan keseluruhan UEM Sunrise.

Pembangunan di wilayah tengah pula merangkumi 71 peratus daripada jualan keseluruhan dan selebihnya disumbangkan oleh produk di wilayah selatan,'' katanya.

Ia menambah kejayaan itu turut disokong oleh kempen Tahun Baru Cina 'Must Cari Ong' 'Happy Chase Virtual Live Show' dan kempen Pemilikan Rumah 2.0 oleh kerajaan yang berakhir 31 Disember 2021.

– Bernama

Berita Harian X