Isnin, 24 Januari 2022 | 7:42pm
Datuk Michael Chooi Yoey Sun
Datuk Michael Chooi Yoey Sun

Michael Chooi muncul pemegang saham utama EcoFirst

KUALA LUMPUR: Pengasas Bersama Signature International Bhd, Datuk Michael Chooi Yoey Sun muncul sebagai pemegang saham utama syarikat hartanah, EcoFirst Consolidated Bhd (EcoFirst) dengan kepentingan 5.155 peratus pada 24 Januari 2022.

Beliau mengambil alih 20 juta saham menerusi pasaran dalam tempoh 14 hari lalu dan selanjutnya membeli 40 juta saham lagi daripada transaksi luar pasaran menerusi Wawasan Fokus Sdn Bhd.

Harga saham EcoFirst ditutup pada 56 sen hari ini dengan permodalan pasaran sebanyak RM659 juta.

EcoFirst ialah syarikat hartanah bersaiz sederhana dengan bank tanah utama di Lembah Klang, terutama di Ampang, Sungai Besi, Shah Alam dan Damansara Damai.

Syarikat kini dalam peringkat perancangan pembangunan untuk fasa seterusnya projek perdana Ampang Ukaynya.

Ia mencadangkan pembangunan bercampur dan pembangunan kediaman berikutan kejayaan menyiapkan pembangunan Liberty Arc.

Pembangunan bercampur utamanya, Ampang Ukay ialah projek tujuh fasa di atas tanah seluas 34.8 hektar yang terletak di Ukay Heights yang mempunyai anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) lebih RM4 bilion.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, EcoFirst menukar tumpuannya untuk menjual rumah mampu milik kepada M40 atau kumpulan kelas pertengahan Malaysia berikutan permintaan dalam segmen itu.

Sementara itu, Yoey Sun dikenali sebagai pengasas bersama Signature Kitchen dengan rakan kongsinya Tan Kee Choong pada 1994, membekal dan memasang dapur tersedia dipasang dan sistem almari pakaian.

Signature International kemudiannya disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 2008.

Terkenal sebagai pakar jualan dan pemasaran dengan pengalaman hampir 30 tahun, Yoey Sun mengembangkan Signature Kitchen, yang mana kabinet dapurnya tidak lama kemudian mencatat sejarah dalam projek hartanah kelas atasan.

Signature juga meneroka luar negara iaitu dalam kira-kira 15 pasaran berbeza.

Selepas 27 tahun dalam syarikat itu, Yoey Sun tidak lagi menjadi pemegang saham utama Signature, selepas menjual sahamnya kepada Chin Hin Group Bhd pada April 2021.

Beliau juga meletakkan jawatan sebagai pengarah eksekutif untuk mengejar peluang lain.

Beliau kini adalah pemegang saham utama Scanwolf Corporation Bhd dengan 12.878 peratus kepentingan.

Mengulas mengenai kemunculan pemegang saham baharu dalam EcoFirst, Pengarah Alternatif, Datuk Kenneth Teoh Seng Kian, berkata pihaknya amat berbesar hati untuk mengalu-alukan kehadiran Yoey Sun sebagai pemegang saham strategik dalam EcoFirst.

Beliau berkata, dengan kepakaran dan rekod prestasinya yang terbukti dalam mengembangkan Signature International, pihaknya menantikan prospek dan inovasi yang menarik di hadapan untuk EcoFirst.

Sementara itu, Yoey Sun berkata, beliau teruja menjadi pemegang saham EcoFirst.

Beliau masih belum memutuskan sama ada untuk meminta tempat dalam lembaga pengarah susulan kepentingannya yang besar dalam EcoFirst.

"Pertama, EcoFirst mempunyai barisan pengurusan yang kukuh. Ini telah membolehkan syarikat itu memperoleh keuntungan sepanjang dekad yang lalu walaupun menghadapi prospek yang mencabar. Pengurusan adalah peserta hartanah yang bijak dengan sifat utama kesabaran.

"Ciri ini telah membolehkan mereka membeli bank tanah utama pada masa yang sesuai. Oleh itu, mereka dapat menikmati kos tanah yang rendah. Saya berharap untuk menambah nilai dalam syarikat dengan cara yang mantap dan mampan," katanya.

Berita Harian X