Rabu, 19 Januari 2022 | 9:34am
Pengarah Urusan Kumpulan Titijaya, Lim Poh Yit (dua dari kiri) bertukar dokumen MoU bersama Ketua Pegawai Eksekutif PDC, Aziz Bakar - Foto ihsan Titijaya
Pengarah Urusan Kumpulan Titijaya, Lim Poh Yit (dua dari kiri) bertukar dokumen MoU bersama Ketua Pegawai Eksekutif PDC, Aziz Bakar - Foto ihsan Titijaya

Titijaya bangun bandar perubatan di Batu Kawan

DUBAI: Titijaya Land Bhd (Titijaya) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) bagi pembangunan bandar perubatan berteknologi tinggi, Medi-Tech City dengan nilai pembangunan kasar sebanyak RM9.9 bilion.

Dalam satu kenyataan, syarikat itu berkata projek berkenaan meliputi kawasan seluas 93.07 hektar di Batu Kawan dan dijangka siap dalam tempoh 10 tahun.

Pembangunan Medi-Tech City berkenaan turut disasarkan sebagai sebuah bandar perubatan dan hab perniagaan bersepadu, lestari dan berteknologi tinggi di Pulau Pinang yang kini menempatkan lebih daripada 300 syarikat multinasional antarabangsa (MNC).

"Projek pembangunan itu akan selaras dengan pematuhan aspek Perikatan Perniagaan Bertanggungjawab dan inisiatif Tadbir Urus Alam Sekitar, Sosial dan Korporat (ESG)," katanya.

Perjanjian MoU dimeterai oleh Pengarah Urusan Kumpulan Titijaya, Lim Poh Yit dan Ketua Pegawai Eksekutif PDC, Aziz Bakar.

Ia disaksikan Gabenor Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PDC, Mohammad Azhar Hamdan; Pengarah Eksekutif Titijaya, Datuk Faizal Abdullah dan Penasihat Korporat Titijaya, Datuk Seri Dr Mohamed Azahari Kamil.

Menurut Titijaya, apabila siap kelak, Medi-Tech City akan menjadi hab perubatan yang menawarkan ekopelancongan dan perkhidmatan perniagaan global lengkap dengan kemudahan termasuk hospital, kampus perubatan, hab bekalan perubatan, suit korporat dan sebuah pusat rehabilitasi.

Syarikat itu juga mempunyai pembangunan 'binaan khusus' seluas 8.09 hektar di Bayan Lepas, Pulau Pinang yang terletak berdekatan dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah.

Pembangunan terbabit akan memberi sokongan logistik kepada projek Medi-Tech City yang turut menyasarkan permintaan tinggi daripada pelbagai sektor di kawasan Bayan Lepas.

Sebelum ini, Titijaya turut menandatangani perjanjian kerjasama dengan syarikat China, Sinopharm Medical Equipment Quan Zhou Co Ltd pada April 2020 bagi penjualan peralatan perubatan dan juga hartanah di Malaysia.

Pembangunan Medi-Tech City di sekitar lokasi strategik yang mempunyai kelengkapan infrastruktur akan mengukuhkan lagi sumbangan Titijaya kepada industri perubatan di Malaysia, selain membuka lebih peluang pelaburan asing ke dalam negara.

Berita Harian X