Jumaat, 7 Januari 2022 | 4:50pm
LOTTE Chemical Titan Holding Bhd
LOTTE Chemical Titan Holding Bhd

LOTTE Chemical anugerah pakej kerja kemudahan petrokimia di Indonesia

KUALA LUMPUR: Anak syarikat LOTTE Chemical Titan Holding Bhd (LCT), PT LOTTE Chemical Indonesia (LCI) sedang melengkapkan proses penganugerahan untuk kemudahan petrokimia bersepadu baharunya di Indonesia dikenali sebagai Projek Etilena Baharu (LINE) Lotte Chemical Indonesia.

Ia berkata, LCI akan menandatangani kontrak pembinaan dalam pesisir dengan PT HEIN Global Utama, usaha sama antara Hyundai Engineering Co Ltd (Hyundai) dan PT Hans Enjiniring dan Konstruksi.

Selain itu, kontrak kejuruteraan dan perolehan luar pesisir akan dimeterai dengan Hyundai, kata syarikat bahan kimia itu dalam satu kenyataan hari ini.

Kerja-kerja kejuruteraan, perolehan dan pembinaan (EPC) di bawah pakej kerja Kumpulan A, bernilai RM3.1 bilion (AS$757.2 juta), terdiri daripada pembinaan loji perengkah dengan kapasiti untuk mengeluarkan sebanyak 1,000 kilo tan (KTA) etilena dan 520 KTA propilena setahun.

LCI juga akan menandatangani kontrak EPC untuk pakej kerja Kumpulan B dan Kumpulan C untuk Projek LINE, meliputi kerja-kerja untuk loji hiliran dan kemudahan infrastruktur lain.

Ia berkata, kontrak pembinaan dalam persisir akan ditandatangani dengan LOTTE Engineering & Construction Co Ltd (LEC) dan PT Jaya Teknik Konstruksi manakala kontrak kejuruteraan dan perolehan luar pesisir akan bersama LEC.

"Dengan perkembangan terkini, semua aspek penting dalam pembinaan Projek LINE Indonesia (iaitu loji perengkah, loji hiliran, kemudahan infrastruktur dan lain-lain) kini tersedia dan kami bersedia untuk memulakan pembinaan projek itu tahun ini dan projek berkenaan dijadual siap menjelang tahun 2025," kata

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif LCT, Park Hyun Chul.

Projek LINE, dengan nilai pelaburan kira-kira RM17 bilion (AS$3.95 bilion) adalah usaha sama dengan syarikat induknya, LOTTE Chemical Corporation yang akan bertindak sebagai pemacu pengembangan utama bagi syarikat itu dengan tujuan mengukuhkan kedudukan sebagai syarikat petrokimia utama di rantau Asia Tenggara.

-BERNAMA

Berita Harian X