Khamis, 6 Januari 2022 | 4:37pm
Le Meridien Penang Airport
Le Meridien Penang Airport

Marriott rancang buka Hotel Le Meridien Penang Airport

KUALA LUMPUR: Marriott International Inc akan mengukuhkan lagi kehadirannya di Malaysia dengan bakal membuka hotel di bawah jenama Le Meridien di Pulau Pinang.

Naib Presiden Marriott International bagi Singapura, Malaysia and the Maldives, Rivero Delgado, berkata pihaknya telah menandatangani perjanjian dengan Rackson Hospitality Sdn Bhd bagi membuka Hotel Le Meridien Penang Airport dengan kapasiti 200 bilik.

Beliau berkata, Hotel Le Meridien Penang Airport adalah sebahagian daripada pembangunan Penang Gateway yang akan terletak bersebelahan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.

Penang Gateway adalah pembangunan bercampur yang terdiri daripada menara kediaman, pusat perubatan, ruang komersil dan runcit.

Pembinaan Penang Gateway akan dimulakan pada pertengahan 2022 dan dijangka siap menjelang akhir 2026.

"Kerjasama yang dimeterai itu menandakan pengukuhan kehadiran Marriott International di Malaysia.

"Kumpulan yakin bahawa Hotel Le Meridien Penang Airport akan meningkatkan tawaran layanan di Pulau Pinang dan akan memberi inspirasi kepada pelancong untuk melancong dengan bergaya, menikmati kehidupan yang baik serta pengalaman yang luar biasa," katanya.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Rackson, Kelvin Lor, berkata bahagian hadapan bangunan hotel akan menyerlah dengan elemen reka bentuknya.

Beliau berkata ia menjadikan hotel ini satu tarikan yang baru dan pasti akan menjadi tumpuan kepada sesiapa yang melintasinya melalui udara atau darat.

"Apabila Penang Gateway siap kelak, saya percaya ia berpotensi untuk menjadi mercu tanda ikonik serta meningkatkan taraf ekonomi dan seni bina Pulau Pinang," katanya.

Le Meridien Penang Airport direka bentuk oleh SA Architects Malaysia, dengan rekaan abad pertengahan yang diilhamkan oleh jenama hotel itu.

Hotel ini dijangka mempunyai 186 bilik dan 14 suite, termasuk suite presiden seluas 2,000 kaki persegi.

Ia juga bakal mempunyai restoran terkemuka yang menawarkan gabungan citarasa Eropah dan Asia.

Berita Harian X