X
Khamis, 30 Disember 2021 | 9:00pm
Cypark Resources Bhd
Cypark Resources Bhd

Cypark catat untung bersih RM75.42 juta

KUALA LUMPUR: Cypark Resources Bhd mencatatkan peningkatan dalam keuntungan bersihnya kepada RM75.42 juta pada tahun kewangan berakhir 31 Oktober 2021 berbanding RM70.69 juta tahun lalu.

Hasil penyedia penyelesaian tenaga boleh diperbaharui (RE) itu meningkat sebanyak 3.7 peratus kepada RM315.3 juta daripada RM304.0 juta sebelumnya, disumbangkan terutama oleh kemajuan kerja-kerja berterusan daripada projek solar berskala besar dan kerja-kerja kepakaran dan perundingan yang dilakukan dalam tempoh tahun kewangan semasa.

"Permintaan untuk tenaga boleh diperbaharui (RE) dijangka terus berkembang pada kadar yang sihat. Keazaman kerajaan untuk mencapai sasaran RE sebanyak 20 peratus (6,000MW) menjelang 2025 dijangka memacu lagi pasaran RE tempatan.

"Cypark percaya program solar berskala besar (LSS) akan dilanjutkan lagi, mungkin LSS5 dan LSS6. Ini mungkin, secara prospektif, ia menawarkan keseronokan yang sama seperti tender LSS4 2020, jika tidak sekarang ia mungkin lebih banyak lagi dalam masa terdekat," kata syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

LSS ialah program pembidaan kompetitif yang bertujuan untuk mengurangkan kos tenaga.

"Cypark kini menawarkan kepakarannya yang terbukti dalam pembangunan projek solar kepada pemenang tender LSS4 yang diumumkan baru-baru ini.

"Syarikat menyasarkan untuk mendapatkan beberapa peluang kerja daripada anggaran RM3 bilion hingga RM4 bilion dalam kerja-kerja kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC)," katanya dalam makluman itu hari ini.

Cypark optimistik bagi melaksanakan kontrak LSS di masa depan untuk memenuhi sasaran negara iaitu sebanyak 6000MW menjelang 2025.

Kerjasama Cypark dengan pelbagai syarikat atau agensi berkaitan kerajaan negeri di Kedah, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor dijangka memperoleh jumlah kapasiti sehingga 100MW projek Pemeteran Tenaga Bersih (NEM) yang berpotensi dalam tempoh dua tahun akan datang.

Pada masa yang sama, Cypark mengambil bahagian secara aktif dalam beberapa tender NEM swasta daripada universiti dan syarikat berkaitan kerajaan.

-BERNAMA

Berita Harian X