Jumaat, 10 Disember 2021 | 6:52pm
Pengarah Eksekutif CHGP, Chiau Haw Choon.
Pengarah Eksekutif CHGP, Chiau Haw Choon.

Chin Hin ambil alih 60 peratus ekuiti Makna Setia

KUALA LUMPUR: Chin Hin Group Property Bhd (CHGP) memperoleh 60 peratus kepentingan ekuiti dalam Makna Setia Sdn Bhd (Makna Setia) melalui anak syarikat milik 65 peratusnya, Kayangan Kemas Sdn Bhd.

Pertimbangan pembelian untuk 60 peratus kepentingan Makna Setia bernilai sekitar RM9 juta.

Pengarah Eksekutif CHGP, Chiau Haw Choon, berkata Kayangan Kemas telah memeterai perjanjian penjualan saham bersyarat (SSA) dengan Liew Jor Ho, Chai Yan Min dan Yap Seng Hee bagi penjualan kepentingan masing-masing sebanyak 25.5 peratus, 25.5 peratus dan 9 peratus dalam Makna Setia.

Beliau berkata, cadangan pengambilalihan itu dijangka selesai menjelang suku pertama 2022 serta akan membolehkan CHGP memanfaatkan industri pembinaan infrastruktur.

"Ia bukan sahaja membolehkan CHGP mempunyai akses secara tidak langsung kepada projek Makna Setia yang sedang berjalan dan akan datang, tetapi juga berkembang ke skop yang lebih luas dalam industri pembinaan yang merangkumi pembangunan infrastruktur awam seperti jambatan, landasan kereta api dan lebuh raya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Makna Setia adalah syarikat yang terbabit terutamanya dalam pembinaan infrastruktur awam, termasuk jambatan, landasan kereta api dan lebuh raya.

Beberapa projek terkemukanya termasuk Transit Aliran Massa (MRT) Pakej V210, Sambungan Timur Besraya, West Coast Expressway (WCE), SUKE Highway, Kajang 2 – Jalan Reko Flyover, Bandar Utama Elevated Bridge and Sunway Serene Scenic Lake Bridge, Lebuhraya Pantai Baharu (NPE), Sambungan Timur Besraya, Pakej Transit Aliran Massa (MRT) V5 dan Jejambat Kajang 2.

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020, Makna Setia mencatatkan pendapatan RM55.7 juta dengan keuntungan selepas cukai sebanyak RM5.1 juta.

Mengulas lanjut, Haw Choon berkata, pada masa hadapan, kumpulan akan dapat mengukuhkan keupayaan pembinaan di peringkat dalaman secara sendiri.

Beliau berkata, selain itu CHGP juga menyasarkan untuk terbabit dalam projek infrastruktur yang mana akan mengembangkan lagi kepakarannya melangkaui pembinaan rumah.

"Kumpulan menjangkakan cadangan pengambilalihan akan memanfaatkan CHGP dalam jangka panjang dan menyumbang ke arah pendapatan yang positif.

"Matlamat CHGP adalah untuk mengubah kumpulan menjadi pemain utama hartanah, pembinaan dan infrastruktur," katanya.

Berita Harian X