Selasa, 7 Disember 2021 | 8:26pm
Ireka Corporation Bhd
Ireka Corporation Bhd

Ireka dapat kontrak RM468 juta di Terengganu

KUALA LUMPUR: Anak syarikat Ireka Corporation Bhd, Ireka Development (Terengganu) Sdn Bhd (IDTSB), memperoleh projek daripada Kerajaan Negeri Terengganu untuk membangunkan perumahan mampu milik dan bercampur di negeri itu bernilai RM468 juta.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Ireka Corporation berkata kedua-dua pihak akan memeterai perjanjian untuk cadangan pembangunan bercampur dan kerja-kerja berkaitan di tanah kerajaan seluas 80.937 hektar di Bandar Baru Kertih Jaya, Kemaman.

"Kedua-dua pihak juga akan menandatangani perjanjian untuk cadangan pembangunan hibrid 100 unit rumah mampu milik jenis A dan enam unit lot kedai satu tingkat serta kerja-kerja berkaitan di atas tanah kerajaan seluas 4.674 hektar di Kampung Semayor, Kemaman," katanya.

Ia berkata, projek itu akan menyumbang sebanyak RM34.72 juta dalam pembiayaan pembangunan kepada kerajaan negeri.

Namun begitu, ia berkata IDTSB dikehendaki menjual sekurang-kurangnya 50 peratus unit lot kedai kepada Bumiputera, menawarkan pengurangan harga sebanyak lima peratus daripada harga jualan lot kedai kepada Bumiputera dan mematuhi pandangan daripada semua jabatan teknikal berkaitan dengan pembangunan di tanah itu.

"Projek itu dijangka menyumbang secara positif kepada aset bersih dan pendapatan sesaham Ireka dan kumpulan syarikatnya bagi tahun kewangan berakhir 30 Mac 2022 dan seterusnya sehingga projek itu siap," tambahnya.

-BERNAMA

Berita Harian X