Rabu, 1 Disember 2021 | 4:10pm
Bintai Kinden Corporation Bhd
Bintai Kinden Corporation Bhd

Bintai Kinden, CBSB bangunkan tanah dekat KLIA

KUALA LUMPUR: Bintai Kinden Corporation Bhd, memeterai perjanjian persefahaman (MoU) dengan Charter Built Sdn Bhd (CBSB) bagi membangunkan bersama sebidang tanah perindustrian berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Berdasarkan MoU, Bintai Kinden dan CBSB bersetuju secara bersama untuk berunding secara eksklusif berhubung struktur dan terma cadangan, bermanfaat dan bersinergi, dengan hasrat untuk memuktamadkan dan memasuki perjanjian muktamad.

Tanah perindustrian seluas 36 hektar itu memiliki potensi anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) tidak kurang daripada RM700 juta.

CBSB akan terbabit terutama dalam kerja-kerja sivil dan struktur, perundingan pengurusan projek serta kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC).

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Bintai Kinden, Azri Azerai, berkata MoU yang dimeterai itu selaras dengan strategik syarikat untuk mempelbagaikan perniagaan dan tidak bergantung semata-mata kepada perniagaan terasnya iaitu kejuruteraan mekanikal dan elektrikal (M&E) sedia ada.

"Bintai Group memiliki pengalaman dan kepakaran dalam melaksanakan dan menyiapkan pelbagai pembangunan hartanah dan projek berkaitan dalam tempoh 36 tahun.

"Pembangunan bersama dalam membangunkan sebidang tanah perindustrian dengan CBSB akan menambah satu lagi portfolio projek kepada kumpulan," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut kenyataan itu, MoU itu sah untuk tempoh setahun bermula hari ini dan boleh dilanjutkan lagi menerusi persetujuan bersama secara bertulis daripada kedua-dua pihak.

Berita Harian X