Rabu, 22 September 2021 | 4:18pm
Maybank meluluskan kesemua permohonan bantuan pembayaran balik yang layak di bawah program PEMULIH - Foto hiasan
Maybank meluluskan kesemua permohonan bantuan pembayaran balik yang layak di bawah program PEMULIH - Foto hiasan

420,000 pelanggan Maybank terima bantuan bayaran balik

KUALA LUMPUR: Lebih 420,000 pelanggan individu serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menerima bantuan pembayaran balik berjumlah lebih RM77 bilion daripada Maybank dan Maybank Islamic setakat 31 Ogos lalu.

Pelanggan terbabit memiliki kira-kira 500,000 akaun pinjaman/pembiayaan merangkumi hampir satu pertiga daripada keseluruhan portfolio pinjaman/pembiayaan bagi pengguna dan PKS Maybank di Malaysia berdasarkan baki tertunggak.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Perkhidmatan Kewangan Komuniti Maybank, Datuk John Chong, berkata kadar pinjaman di bawah bantuan pembayaran balik berdasarkan baki tertunggak telah melonjak lebih dua kali ganda sejak Julai lalu, berikutan penawaran moratorium automatik enam bulan di bawah program Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH).

"Kami meluluskan kesemua permohonan bantuan pembayaran balik yang layak di bawah program PEMULIH daripada pelanggan individu, perusahaan mikro serta PKS dan akan terus menawarkannya kepada peminjam yang memerlukan bantuan kewangan akibat kesan pandemik COVID-19.

"Walaupun sektor ekonomi telah dibuka secara bertingkat pada masa ini berikutan kejayaan program vaksinasi, kami memahami bahawa ramai pelanggan Maybank yang telah terjejas akibat sekatan pergerakan dan masih memerlukan bantuan.

"Maybank tetap komited untuk menyokong semua pelanggan yang sedang menghadapi cabaran dan akan terus membantu mengurangkan beban aliran tunai, sementara mereka berusaha untuk menstabilkan semula kehidupan," katanya dalam satu kenyataan.

Chong berkata, daripada keseluruhan portfolio pinjaman/pembiayaan di bawah bantuan pembayaran balik berdasarkan baki tertunggak, 69 peratus daripadanya memilih penangguhan bayaran ansuran (moratorium).

Beliau berkata, Maybank secara proaktif menghulurkan bantuan pembayaran balik kepada kesemua pelanggan yang terjejas, terutama individu dan segmen PKS, sejak permulaan wabak ini melalui skim tersendiri Maybank yang dilancarkan seawal Februari 2020.

"Selain itu, katanya institusi perbankan itu juga konsisten dalam menyokong beberapa inisiatif bantuan pembayaran balik yang diumumkan oleh kerajaan mulai April 2020.

"Ini termasuk moratorium enam bulan yang ditawarkan kepada semua individu dan PKS dari April hingga September 2020, bantuan pembayaran balik bersasar (TRA) yang dihulurkan kepada golongan B40 dan perusahaan mikro yang memenuhi syarat dari bulan November 2020 sehingga akhir Jun 2021.

"Program PEMERKASA+ yang diumumkan pada hujung Mei 2021 pula menawarkan tiga bulan moratorium atau pengurangan ansuran sebanyak 50 peratus bagi tempoh enam bulan kepada golongan B40, individu yang kehilangan pekerjaan dan PKS yang terjejas, di samping program PEMULIH yang masih berterusan," katanya.

Beliau menjelaskan, bagi pelanggan yang terjejas teruk, Maybank menawarkan tempoh moratorium yang lebih panjang, selaras dengan usaha untuk memastikan mereka dapat melalui waktu yang sukar ini.

"Selain bantuan kewangan, Maybank juga membantu PKS memasarkan produk/servis mereka di atas talian kepada pelanggan Maybank melalui Sama-Sama Lokal, platform e-perniagaannya dalam aplikasi Maybank2U.

"Maybank tidak mengenakan sebarang komisen demi membolehkan peniaga menikmati keuntungan secara sepenuh," katanya.

Berita Harian X