Isnin, 30 Ogos 2021 | 8:30am

KPMG kemuka pembelaan terhadap dakwaan Serba Dinamik

KUALA LUMPUR: Dalam tindak balasnya terhadap tindakan undang-undang yang difailkan oleh Serba Dinamik baru-baru ini , KPMG telah mengemukakan tuntutan pembelaan yang mana menyatakan tuduhan yang dibuat itu sebagai perkara yang remeh serta penyalahgunaan proses pengadilan.

Pada Jun lalu, Serba Dinamik telah mengambil tindakan undang-undang terhadap firma juruaudit itu setelah KPMG membangkitkan masalah dengan ketidakupayaan syarikat itu untuk mengesahkan sejumlah kontrak dan transaksinya.

Tindakan undang-undang itu dibuat atas dakwaan kelalaian KPMG, iaitu pelanggaran tugas kontrak dan statutori sebagai juruaudit yang dilantik.

KPMG kemudian menuntut pelantikan juruaudit bebas pihak ketiga untuk menyelesaikan masalah berkenaan. Mereka juga membuat laporan mengenai perkara itu kepada Suruhanjaya Sekuriti (SC), meskipun mereka tidak dapat menyimpulkan penemuan audit berkenaan.

Dalam pembelaannya, KPMG mendakwa bahawa tuntutan undang-undang dan sidang media yang diadakan oleh Serba Dinamik sebelumnya, iaitu untuk mengumumkan dakwaan itu, dilakukan dengan niat buruk dan bertujuan untuk memfitnah serta menjejaskan tanggungjawab KPMG dalam meneruskan audit berkanun secara bebas yang bertujuan memaksa penamatan khidmatnya.

Di samping itu, KPMG juga membantah dakwaan bahawa mereka memerlukan pelantikan juruaudit bebas pihak ketiga agar audit kewangan berkanun dapat disambung semula dan menyatakan bahawa mereka sudah melaksanakan tugas sewajarnya mengikut standard audit Malaysia.

Walaupun begitu, dalam pernyataan pembelaan mereka, KPMG mengakui bahawa mereka tidak dapat menyelesaikan audit dan kemudian mengundurkan diri susulan tindakan yang diambil terhadap mereka.

Serba Dinamik kini berdepan tuduhan bahawa saman kelalaian mereka terhadap KPMG tidak berasas atas anggapan bahawa Serba Dinamik sendiri mengakui bahawa siasatan bebas lebih lanjut diperlukan untuk menentukan isu yang dibangkitkan oleh KPMG.

"Apa yang mereka kemukakan sebagai isu adalah perkara yang sedang ditangani. Mereka mendapat kerjasama penuh kami dan juruaudit bebas pihak ketiga yang telah dilantik, sesuai dengan apa yang dicadangkan oleh mereka" kata Peguam yang mewakili Serba Dinamik, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Beliau menambah, permintaan KPMG untuk melantik juruaudit bebas bagi mengesahkan penemuan mereka menjadi perdebatan sejak awal seolah-olah KPMG tidak yakin dengan proses dan penemuan audit mereka sendiri.

Serba Dinamik pula katanya, dalam kesungguhan mereka untuk menyelesaikan masalah itu, sudah mengadakan banyak pertemuan dengan kehadiran KPMG dan kemudian menyetujui permintaan KPMG.

"Walaupun begitu, KPMG mengakui membuat laporan Seksyen 320 untuk pembelaan mereka, bahkan mengemukakan pendapat bahawa isu audit boleh mempengaruhi kedudukan kewangan Serba Dinamik secara signifikan. Ini bertentangan dengan tuntutan mereka bahawa mereka tidak menyelesaikan audit mereka dan sedang menunggu hasil audit bebas pihak ketiga. Oleh itu, laporan mereka terlalu awal dan dipersoalkan. Kejujuran dan itikad baik mereka diperdebatkan.

"Akibatnya, Serba Dinamik berdepan spekulasi buruk yang ditimbulkan terhadap mereka, yang mana boleh menyebabkan kesan yang berkekalan dalam pasaran dan reputasi mereka.

Selain itu, tuntutan Serba Dinamik untuk kerugian dan kerosakan adalah disangkal oleh KPMG dengan menyatakan bahawa perkara itu, jika ada, adalah disebabkan oleh reaksi buruk pasaran terhadap kegagalan Serba Dinamik untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka.

KPMG juga mendakwa bahawa mereka berhak mendapat perlindungan di bawah Seksyen 320 (2) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007.

Namun ironinya, Serba Dinamik juga menyatakan sebahagian besar dakwaan mereka adalah berasaskan Seksyen 320 akta yang sama, yang mana KPMG didakwa bertindak sebelum waktunya dalam melaporkan penemuan yang tidak lengkap kepada SC, yang mana melanggar syarat-syarat Seksyen 320 (1) yang menghendaki ia terlebih dahulu membentuk pendapat profesional bahawa pelanggaran telah terjadi sebelum ia memfailkan laporan.

Dalam keadaan di mana KPMG sendiri menuntut juruaudit bebas untuk menyelesaikan audit, Serba Dinamik berpendapat bahawa adalah mustahil bagi KPMG untuk membentuk pendapat profesional sebelum kajian bebas dilaksanakan dan dengan demikian telah melanggar piawaian profesional dan kewajipan kerahsiaan mereka.

Pada 26 Julai, bekas Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Serba Dinamik, Hasman Yusoff yang juga adalah sebahagian daripada 44 rakan KPMG yang terbabit dalam tindakan undang-undang 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang difailkan oleh Kementerian Kewangan Inc (MOF Inc) dan Kerajaan Malaysia, disiasat polis atas dakwaan kesalahan mengancam Ketua Pegawai Eksekutif Serba Dinamik. Hasman ialah Ketua Jawatankuasa Audit dan Risiko Serba ketika KPMG membangkitkan masalah audit. Sejak itu beliau meletak jawatan.

Berita Harian X