Isnin, 26 Julai 2021 | 8:55pm
Serba Dinamik Holdings Bhd
Serba Dinamik Holdings Bhd

Nexia dilantik juruadit luar baharu Serba Dinamik

KUALA LUMPUR: Serba Dinamik Holdings Bhd melantik Nexia SSY PLT (Nexia) sebagai juruaudit berkanun baharu bagi syarikat itu.

Dalam kenyataannya kepada Bursa Malaysia pada Isnin, Serba Dinamik berkata langkah itu sejajar dengan ketetapan peraturan berkaitan.

"Ini mengikut Akta Syarikat 2016 bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2021 yang antara lainnya tertakluk kepada pelepasan KPMG PLT mengikut Undang-Undang Kecil Seksyen 320 Institut Perkaunan Malaysia," katanya.

Menurut Serba Dinamik, pengumuman lanjut berkaitan akan dibuat selepas semua 'prosedur berkaitan yang dinyatakan' telah selesai.

Pada 24 Jun lalu, penyedia perkhidmatan minyak dan gas itu telah mengumumkan mengenai tindakan KPMG menyerahkan notis melepaskan jawatan sebagai juruaudit syarikat itu berkuat kuasa serta-merta susulan saman yang difailkan oleh SDB.

-BERNAMA

Berita Harian X