Isnin, 28 Jun 2021 | 5:34pm
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

KWSP bimbang perkembangan terkini Serba Dinamik

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menyatakan kebimbangan berhubung perkembangan terkini membabitkan Serba Dinamik Holdings Bhd yang menyebabkan kerugian besar dalam nilai pemegang saham.

KWSP dalam satu kenyataan berkata, perkembangan itu termasuk peletakan jawatan empat pengarah firma perkhidmatan minyak dan gas itu serta KPMG sebagai juruaudit bebas Serba Dinamik.

"Kami menggesa Lembaga Pengarah segera melaksanakan tinjauan bebas dan mengambil tindakan untuk menyelesaikan semua masalah," katanya dalam maklum balas e-mel kepada Bloomberg.

Saham Serba Dinamik menjunam hampir 80 peratus sejak bulan lalu, selepas KPMG membangkitkan isu transaksi penjualan, penerimaan perdagangan dan pembayaran, termasuk baki bahan mentah.

KWSP yang juga pemegang saham ketiga terbesar Serba Dinamik mengurangkan pegangan sejak daripada itu.

Dana persaraan terbesar Malaysia itu kini memiliki 7.6 peratus pegangan dalam Serba Dinamik, susut berbanding 10.2 peratus pada 3 Jun lalu.

Serba Dinamik mengambil tindakan undang-undang ke atas KPMG sekali gus menyebabkan juruaudit itu menamatkan khidmatnya.

Saham Serba Dinamik susut sehingga 22 peratus kepada paras terendah 32 sen sesaham pada Isnin selepas empat pengarah bebas bukan eksekutifnya meletak jawatan disebabkan tindakan syarikat itu ke atas firma perakaunan itu.

- Bloomberg

Berita Harian X