Jumaat, 25 Jun 2021 | 1:03pm
Ibu pejabat Serba Dinamik di Shah Alam, Selangor.
Ibu pejabat Serba Dinamik di Shah Alam, Selangor.

Serba Dinamik nafi dakwa Pengerusi bincang dengan SC, Bursa

KUALA LUMPUR: Serba Dinamik Holdings Bhd (Serba Dinamik) tidak pernah mendakwa bahawa Pengerusinya, Datuk Mohamed Ilyas Pakeer Mohamed telah berkomunikasi secara rasmi dengan Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan Bursa Malaysia berhubung tindakan undang-undang terhadap juruaudit luarnya, KPMG PLT.

Serba Dinamik dalam satu kenyataan, berkata pihaknya meminta SC dan Bursa Malaysia memperhalusi secara mendalam fakta yang ada dalam kes berkenaan.

"Kami berterima kasih kepada SC dan Bursa Malaysia kerana mengingatkan kami mengenai obligasi juruaudit dalam membuat laporan kepada SC.

"Namun, kami ingin menekankan tanggungjawab juruaudit dalam melaksanakan tanggungjawab berkenaan untuk menggunakan pendapat profesional berhubung pelanggaran atau undang-undang yang dikenal pasti tidak dilaksanakan. Bukan hanya kepercayaan wajar dari pihak mereka sahaja," katanya.

Menurut Serba Dinamik, syarikat itu menerima nasihat SC dan Bursa Malaysia walaupun juruaudit telah menggunakan elemen keraguan ketika membuat audit.

Katanya, keraguan berkenaan sepatutnya disampaikan kepada pelanggan mereka bagi menyelesaikan masalah yang timbul.

"Keraguan semata-mata tidak cukup untuk juruaudit membuat laporan belum matang sehingga merugikan syarikat dan pasaran," katanya.

Baru-baru ini, Serba Dinamik mengambil tindakan undang-undang terhadap juruaudit luarnya, KPMG yang menimbulkan spekulasi kurang tepat sehingga menyebabkan penurunan harga saham serta permodalan pasaran secara keseluruhan.

KPMG juga didakwa cuai dan melanggar tugas kontrak serta perundangannya kepada kumpulan minyak dan gas itu.

Penasihat Undang-Undang Serba Dinamik, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, berkata kumpulan mengemukakan tindakan perundangan itu, namun proses dokumentasi mahkamah masih belum dimeterai secara rasmi.

"KPMG seharusnya bertemu dengan pelanggan iaitu Serba Dinamik dan mengemukakan masalah audit satu persatu untuk mengetahui jawapannya," katanya dalam sidang media khas Serba Dinamik secara maya, baru-baru ini.

Serba Dinamik mendakwa, KPMG memberikan maklumat yang kurang tepat dan tidak berkaitan dengan pendapatan kumpulan.

Kenyataan kurang tepat itu, didakwa merosakkan imej korporat Serba Dinamik dan memberi gambaran banyak berlaku ketidakpastian dalam takbir urus kumpulan.

Serba Dinamik mendakwa telah kehilangan lebih daripada RM3 bilion nilai permodalan pasaran disebabkan isu berkenaan.

Serba Dinamik berkata, tindakan sama ke atas KPMG bukan disebabkan laporan juruaudit luar itu kepada SC, sebaliknya cara firma berkenaan melaksanakan audit mereka.

Serba Dinamik 'berpatah arang' dengan KPMG yang telah menjadi juruaudit syarikat selama tujuh tahun, tiba-tiba menjadi bagaikan orang asing apabila enggan duduk semeja berbincang bersama pihak pengurusan untuk menyelesaikan masalah yang dibangkitkan.

KPMG didakwa mengambil jalan pintas dalam melakukan tugas mereka dengan meminta Serba Dinamik pula untuk melantik pasukan forensik dan pada masa sama, membuat aduan kepada pihak berkuasa.

"Syarikat tidak ada benda hendak disorok dan yakin, perbicaraan mahkamah ini akan mendedahkan kebenaran mengenai kedudukan Serba Dinamik serta tindak-tanduk KPMG.

"Serba Dinamik sebenarnya mengambil tindakan undang-undang ke atas KPMG berdasarkan Seksyen 320 Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan (CMSA) 2007 sebagai sebahagian daripadan tuntutan mereka," kata sumber yang rapat dengan hal ehwal korporat syarikat itu.

Beliau menjelaskan, perlu dinyatakan Seksyen 320(2) CMSA menggariskan 'juruaudit tidak layak disaman atas sebarang laporan yang dikemukakan olehnya dengan secara jujur dan bertujuan melaksanakan sebarang tugas yang diarahkan ke atas juruaudit'.

Malah Seksyen 320(1), katanya, mengkehendaki juruaudit membentuk pendapat profesional secara yang terang bahawa adanya pelanggaran undang-undang sebelum mereka boleh membuat laporan kepada SC.

"Mengambil kira fakta itu yang mana KPMG didakwa melakukan kerja pengauditan yang substandard, firma juruaudit itu tidak dapat membentuk pendapat profesional mengenainya dan oleh itu, tidak mungkin bertindak dengan jujur, malah sebenarnya mereka bertindak dengan niat tidak baik.

"Ia adalah satu daripada hujah mengapa KPMG disaman kerana melanggar tugasan statutori mengikut Seksyen 320 CMSA," katanya.

Menurut beliau, definisi keputusan profesional adalah 'memastikan ia benar-benar berlaku pelanggaran undang-undang bukan hanya di peringkat tanggapan'.

"Keputusan KPMG menuntut audit bebas dilakukan untuk mensahihkan dapatan KPMG turut menjadi persoalan, seolah-olah laporan telah dibuat tanpa mendapatkan sebarang kepastian terlebih dahulu. Tindakan tergesa-gesa ini juga menimbulkan tanda-tanya niat sebenar laporan dilakukan," katanya.

Katanya, antara dakwaan terhadap KPMG adalah Tidak membuat pengesahan secara teratur; tidak berhubung dengan pihak diaudit; Tidak mempedulikan respons pihak diaudit; menyalahkan Serba Dinamik mengenai kesilapan dan kecuaian sendiri lalu enggan menyiapkan audit.

"Atas fakta di atas, hasrat Serba Dinamik menyingkirkan KPMG bukanlah sesuatu yang drastik atau luar biasa. Baru-baru ini, Petron Malaysia Refining & Marketing Bhd dan Malaysia Building Society Bhd melantik firma lain sebagai juruaudit mereka, menggantikan KPMG," kata pegawai itu lagi.

Berita Harian X