Jumaat, 25 Jun 2021 | 12:44pm
Serba Dinamik Holdings Bhd
Serba Dinamik Holdings Bhd

Saman dikemuka Serba Dinamik tindakan 'luar kebiasaan'

KUALA LUMPUR: Langkah Serba Dinamik Holdings Bhd mengemukakan tindakan undang-undang terhadap juruaudit, KPMG PLT adalah tindakan 'luar kebiasaan' bagi sebuah syarikat senaraian awam terutama sebelum audit dilengkapkan, demikian tegas Institut Tadbir Urus Korporat Malaysia (MICG).

"Ia boleh dianggap sebagai satu keputusan yang dikesali, pandangan yang kami percaya akan dikongsi oleh pengawal selia.

"Adalah diharapkan satu kaedah ke hadapan dapat dipersetujui segera dan hasilnya memperkukuh reputasi Malaysia sebagai pasaran kewangan yang memperlihatkan amalan terbaik dalam tadbir urus korporat," kata Timbalan Presidennya, David W Berry.

Beliau berkata, keputusan KPMG menarik diri sebagai juruaudit luar Serba Dinamik tidak mengejutkan berikutan keputusan syarikat itu untuk mengemukakan tindakan undang-undang terhadapnya.

Katanya, adalah jelas bahawa hubungan yang sepatutnya wujud antara pelanggan dan juruaudit sudah retak.

"KPMG tidak dapat melengkapkan kerja auditnya mengikut standard profesional yang boleh diterima dalam keadaan ini, begitu juga bagi Serba Dinamik meneruskan hubungan itu," katanya.

Serba Dinamik pada awalnya mengumumkan akan melantik BDO untuk melaksanakan semakan bebas terhadap perkara audit yang dibangkitkan oleh KPMG.

Syarikat itu kemudian menamakan Ernst & Young (EY) dan termanya dikatakan sudah dipersetujui, sebelum ia dikatakan menyemak semula keperluan untuk melantik EY.

"Apa pun pilihan yang dibuat, sebuah firma audit terkemuka dengan hubungan kukuh di peringkat antarabangsa perlu menyiapkan audit statutori bagi tahun kewangan 2020.

"Dalam proses ini, perkara audit yang dibangkitkan oleh KPMG perlu diteliti," kata Berry.

Serba Dinamik dalam satu kenyataan semalam berkata, KPMG sudah menyerahkan notis peletakan jawatannya sebagai juruauditnya berkuat kuasa serta-merta, berikutan saman yang difailkan terhadap mereka.

Notis itu menyatakan bahawa saman yang difailkan pada 22 Jun lalu terhadap KPMG PLT berhubung audit berkanun berterusan syarikat bagi tempoh kewangan berakhir 30 Jun 2021, telah menjejaskan keupayaan juruaudit itu untuk meneruskan auditnya secara profesional.

"Syarikat kini sedang mengenal pasti juruaudit baharu untuk dilantik, sesuai dengan Seksyen 271(2)(b) Akta Syarikat 2016 dan akan membuat pengumuman dengan segera selepas pemuktamadan pelantikan juruaudit ini," kata Serba Dinamik.

Dalam kenyataan berasingan, Serba Dinamik berkata ia tidak pernah mendakwa pengerusinya berhubung secara rasmi dengan Suruhanjaya Sekuriti (SC) atau Bursa Malaysia Bhd (Bursa).

"Kami menghargai institusi terbabit kerana tidak merumitkan fakta kes ini, fakta yang masih ada pada umumnya," katanya.

Syarikat itu memperakui pendapat oleh SC dan Bursa bahawa juruaudit boleh mempunyai beberapa elemen keraguan secara profesional semasa audit.

Berita Harian X