Rabu, 23 Jun 2021 | 5:01pm
Kejuruteraan Asastera Bhd (KAB)
Kejuruteraan Asastera Bhd (KAB)

KAB teroka pasaran RE di Vietnam

KUALA LUMPUR: Anak syarikat miik penuh Kejuruteraan Asastera Bhd (KAB), KAB Energy Power Sdn Bhd (KABEP) menandatangani perjanjian kerjasama dengan Janakuasa Pte Ltd untuk meneroka pasaran tenaga boleh baharu (RE) di Vietnam.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, penyedia perkhidmatan kejuruteraan elektrik dan mekanikal itu berkata, di bawah perjanjian itu, syarikat tujuan khas akan diwujudkan oleh KABEP dan Janakuasa, seterusnya berusaha mengambil alih pegangan majoriti dalam tiga projek loji hidrokuasa di Vietnam, dengan agregat kapasiti terpasang 180 megawatt (MW).

"Projek ini mempunyai perjanjian pembelian tenaga sedia dengan syarikat utiliti milik negara, Vietnam Electricity yang akan tamat antara Januari 2030 dan 2039.

"Projek ini memulakan operasi komersial antara 2015 dan 2019," menurut KAB.

Dalam kenyataan bersama, Pengarah Urusan KAB, Datuk Lai Keng Onn berkata perjanjian itu menunjukkan komitmen syarikat untuk memperluaskan bahagian penyelesaian tenaga hijau serta mengembangkan kedudukannya di rantau Asia.

"Pada masa yang sama, dengan permintaan elektrik yang meningkat di Vietnam, kami yakin penglibatan pertama kami di negara itu akan berjaya.

"Kami berharap untuk bekerjasama dengan Janakuasa bagi meningkatkan perkongsian jangka panjang dengan membangunkan projek hijau di Vietnam," katanya.

Pengerusi Janakuasa, Ti Chee Liang berkata syarikat itu membangunkan projek tenaga di Vietnam untuk menggalakkan kemajuan ekonomi di rantau ini, serta menyokong pertumbuhan tenaga boleh baharu di negara berkenaan.

"Memandangkan Vietnam sebagai negara yang semakin menyerlah di ASEAN dengan pertumbuhan ekonomi yang cerah dan pertambahan penduduk, permintaan kepada tenaga telah meningkat dengan pesat," katanya.

-BERNAMA

Berita Harian X