Selasa, 22 Jun 2021 | 7:25pm
Serba Dinamik Holdings Bhd
Serba Dinamik Holdings Bhd

Serba Dinamik kemuka saman ke atas KPMG

KUALA LUMPUR: Serba Dinamik Holdings Bhd mengambil tindakan undang-undang terhadap juruaudit luarnya, KPMG PLT yang menimbulkan spekulasi kurang tepat sehingga menyebabkan penurunan harga saham serta permodalan pasaran secara keseluruhan.

KPMG juga dilaporkan cuai dan melanggar tugas kontrak serta perundangannya kepada kumpulan minyak dan gas itu.

Penasihat Undang-Undang Serba Dinamik, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, berkata kumpulan mengemukakan tindakan perundangan itu hari ini, namun proses dokumentasi mahkamah masih belum dimeteraikan secara rasmi.

"KPMG seharusnya bertemu dengan pelanggan iaitu Serba Dinamik dan mengemukakan audit masalah satu persatu untuk mengetahui jawapannya," katanya dalam sidang media khas Serba Dinamik secara maya, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Serba Dinamik, Datuk Mohamed Ilyas Pakeer Mohamed serta Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Serba Dinamik, Datuk Mohd Abdul Karim Abdullah.

Sementara itu, Mohamed Ilyas berkata, KPMG memberikan maklumat yang kurang tepat dan tidak berkaitan dengan pendapatan kumpulan.

Beliau berkata, Serba Dinamik adalah kumpulan yang mempunyai rekod kewangan dan operasi yang stabil.

Kenyataan kurang tepat itu, katanya, merosakkan imej korporat Serba Dinamik dan memberi gambaran banyak berlaku ketidakpastian dalam takbir urus kumpulan.

"Ia mengakibatkan Serba Dinamik kehilangan lebih daripada RM3 bilion nilai permodalan pasaran. Ini adalah jumlah yang besar bagi syarikat minyak dan gas," katanya.

Abdul Karim pula berkata, KPMG dalam proses audit menimbulkan masalah dalam mendapatkan pelbagai pengesahan daripada pelanggan dan vendor kumpulan mengenai pelbagai hutang dan pemiutang.

Beliau berkata, perkara itu dibangkitkan dalam mesyuarat Lembaga Pengarah Khas pada 3 Mei 2021, di mana KPMG menunjukkan bahawa mereka tidak bersedia menyelesaikan audit sehingga kajian bebas dilaksanakan pihak ketiga terhadap penemuan yang dikemukakan oleh KPMG.

Serba Dinamik, katanya, berpendapat bahawa penemuan yang dikemukakan oleh KPMG tidak bersifat substantif yang memerlukan kajian bebas.

"Isu yang dihadapi oleh KPMG disebabkan oleh kecuaian dan pelanggaran mereka sendiri sepenuhnya dalam proses audit," katanya.

Abdul Karim berkata, beberapa penemuan yang dikemukakan serta memerlukan penjelasan segera adalah penemuan yang dibuat firma audit itu mengenai beberapa individu yang menandatangani permintaan pengesahan audit tidak wujud.

Bagaimanapun, katanya, pengurusan kanan syarikat itu kemudiannya mengesahkan kewujudan individu itu tetapi tiada tindakan lanjut diambil oleh KPMG.

"KPMG juga melakukan lawatan ke lokasi membabitkan vendor Serba Dinamik dari Asia Barat untuk mengesahkan keberadaan pejabat mereka dan menyimpulkan bahawa pejabat itu tidak wujud.

"Namun, setelah kumpulan melaksanakan pemeriksaaan, didapati KPMG tersalah alamat kerana alamat vendor itu mempunyai gabungan angka dan huruf Arab yang disalah tafsir juruaudit luaran itu.

"Bukti alamat dan pejabat yang betul sudah diberikan oleh Serba Dinamik tetapi KPMG enggan mengesahkannya," katanya.

Beliau menambah, walaupun Serba Dinamik menghargai perkara itu harus dilaksanakan oleh KPMG sebelum laporan audit mereka selesai, syarikat berpendapat ia dapat diselesaikan sendiri oleh juruaudit itu tanpa memerlukan kajian bebas pihak ketiga.

"Kami juga memperhatikan bahawa keseluruhan proses pengesahan audit yang dilakukan oleh KPMG tidak mematuhi protokol antarabangsa dan tempatan seperti tidak mempunyai hubungan yang memadai antara KPMG dan Serba Dinamik, yang menjadi kesalahan di pihak KPMG," katanya.

Berita Harian X