Khamis, 3 Jun 2021 | 8:22pm

Serba Dinamik lantik firma bebas untuk nilai audit

KUALA LUMPUR: Serba Dinamik Holdings Bhd telah melantik syarikat bebas untuk menilai kebenaran dan ketepatan yang dibangkitkan juruaudit luarnya dan akan melaporkan keputusan penilaian itu kepada jawatankuasa bebas yang ditubuhkan.

Dalam kenyataan hari ini, kumpulan itu berkata jawatankuasa berkenaan tidak akan mempunyai wakil daripada pihak pengurusan bagi memastikan kebebasannya.

Pada 28 Mei, pemegang saham terbesar kedua Serba Dinamik, Datuk Abdul Kadier Sahib mencadangkan penamatan KPMG PLT sebagai juruaudit luarnya.

Dalam auditnya, KPMG PLT telah menandakan urus niaga jualan, belum terima dan belum bayar tertentu yang berjumlah melebihi RM3 bilion.

Pada 2 Jun, Abdul Kadier menarik balik notis untuk mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) bagi menggantikan KPMG sebagai juruaudit luar syarikat itu dan cadangan menamakan BDO PLT sebagai juruaudit baharu.

Penarikan itu dibuat selepas pertimbangan sewajarnya berdasarkan isu-isu yang dibangkitkan para pemegang saham dan pihak berkepentingan yang telah menyokong syarikat itu.

Serba Dinamik berkata Lembaga Pengarahnya menerima Notis Penarikan Balik itu, justeru, memutuskan bahawa perkara itu tidak lagi dibincangkan.

"Yakinlah bahawa kami akan memastikan bahawa tadbir urus korporat syarikat berada pada tahap tertinggi dan kami kekal bebas dalam melaksanakan tanggungjawab kami.

"Kami memohon pemahaman dan sokongan para pemegang saham dan pihak berkepentingan agar syarikat dapat mengharungi situasi ini, dan kami yakin, lembaga pengarah, pengurusan dan syarikat ini akan sentiasa menawarkan nilai seperti yang dibuktikan dalam Tawaran Awam Awal (IPO) pada 2017," katanya.

Dalam perkembangan lain, Ketua Pegawai Eksekutif dan pemegang saham terbesar kumpulan, Datuk Dr Mohd Abdul Karim Abdullah telah membeli 5.0 juta saham di pasaran terbuka pada Isnin, meningkatkan kepentingannya melebihi satu bilion saham atau 27.07 peratus.

– Bernam

TAG: Serba Dinamik, audit, bebas, KPMG, jawatankuasa

Berita Harian X