Isnin, 31 Mei 2021 | 10:20pm
Serba Dinamik Holdings Bhd
Serba Dinamik Holdings Bhd

Serba Dinamik akan muktamad pelantikan firma bebas

KUALA LUMPUR: Serba Dinamik Holdings Bhd merujuk kepada laporan mengenai penamatan KPMG PLT sebagai juruaudit luar kumpulan dan cadangan pencalonan BDO PLT sebagai juruaudit luar yang baharu seperti yang diumumkan di Bursa Malaysia pada 28 Mei 2021.

Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat itu menjelaskan ia telah menerima notis khas daripada pengarah bukan bebas dan bukan eksekutif Datuk Abdul Kadier Sahib serta ahli jawatankuasa audit dan risiko untuk menamatkan khidmat KPMG sebagai juruaudit luar kumpulan.

Pada masa yang sama, Serba Dinamik juga ingin mengetengahkan hak mana-mana pemegang saham yang memiliki lebih daripada 10 peratus kepentingan dalam kumpulan, mengikut Seksyen 310 (b) Akta Syarikat 2016, untuk mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM).

Sementara itu, Seksyen 311 (2) Akta Syarikat 2016 membenarkan pemegang saham terbabit meminta lembaga pengarah mengadakan EGM melalui pengeluaran notis.

Satu notis khas dikehendaki untuk melaksanakan satu usul bagi mencadangkan penamatan juruaudit berkenaan dan mencalonkan juruaudit baharu kumpulan mengikut Seksyen 277 (1) Akta Syarikat.

"Berdasarkan peruntukan di atas, Abdul Kadier yang memiliki 15.96 peratus kepentingan dalam kumpulan, mempunyai prerogatif untuk mengeluarkan notis khas bagi membuat EGM dan menggerakkan usul untuk mengakhiri khidmat juruaudit serta mencalonkan yang baharu," katanya.

Serba Dinamik menjangkakan pemuktamadan pelantikan firma bebas itu dengan secepat mungkin dan akan memberikan firma bebas yang dilantik dengan tempoh masa dan ruang yang mencukupi bagi mengesahkan perkara-perkara yang dibangkitkan dengan ketepatan dan kebenaran.

Kumpulan itu menegaskan, dalam usahanya untuk terus membantu KPMG, ia telah mengambil tindakan segera bagi menangani perkara-perkara sebelum pengumuman dibuat kepada Bursa Malaysia pada 26 Mei 2021.

Serba Dinamik juga telah membabitkan firma bebas antarabangsa yang berpotensi untuk menilai ketersediaan dan ketepatan perkara yang ditimbulkan oleh juruaudit luar selepas berunding dengan Bursa Securities.

-BERNAMA

Berita Harian X