Khamis, 4 March 2021 | 5:12pm
Pengarah Utusan Khazanah, Datuk Shahril Ridza Ridzuan - Foto arkib NSTP
Pengarah Utusan Khazanah, Datuk Shahril Ridza Ridzuan - Foto arkib NSTP

Khazanah tumpu lima keutamaan strategik hadapi cabaran

KUALA LUMPUR: Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) mengenal pasti lima keutamaan strategik yang akan diberi tumpuan untuk tahun-tahun akan datang bagi memastikannya terus kukuh walaupun berdepan persekitaran mencabar.

Lima keutamaan itu ialah meningkatkan pulangan komersial; menyampaikan nilai yang memberi kesan ketara melalui pelaburan strategik; menjadi organisasi yang bertanggungjawab dengan menyematkan pertimbangan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dalam semua aktiviti pelaburan; membina asas digital dan teknologi yang kukuh serta melabur dalam warga kerja bagi melahirkan budaya prestasi dan kerjasama yang tinggi.

Pengarah Utusan Khazanah, Datuk Shahril Ridza Ridzuan, berkata 2021 akan terus menjadi tempoh yang mencabar meskipun program vaksin sudah bermula kerana prosesnya di Malaysia dan di seluruh dunia akan memakan masa.

Beliau berkata, kemajuan ke arah pemulihan dan kembali seperti sedia kala hanya dapat dilihat apabila dunia berjaya mengawal keadaan dengan lebih baik dan kesan daripada pelbagai inisiatif kesihatan awam serta pemulihan ekonomi terus meningkat.

"Dalam sektor utama seperti penerbangan dan pelancongan, kami tidak menjangkakan pemulihan sepenuhnya berlaku sebelum 2023," katanya pada sidang media secara maya mengenai Ulasan Tahunan Khazanah 2021, hari ini.

Shahril Ridza berkata, Khazanah akan terus mengembangkan portfolio aset globalnya untuk mengelak daripada kebergantungan pada sumber pendapatan domestik.

Beliau berkata, Khazanah juga sedang berunding dengan kerajaan mengenai pelaburan strategik baharu yang akan memberi manfaat dan pulangan yang mapan kepada kerajaan dan negara pada masa depan.

Katanya, pelaburan di peringkat domestik penting untuk menjana pertumbuhan ekonomi yang mampan pada masa depan dengan melabur dalam aset dan sektor yang betul.

"Sebagai dana kekayaan berdaulat Malaysia, Khazanah akan terus menumpukan usaha kepada pelaburan yang akan menghasilkan

nilai mampan bagi semua rakyat Malaysia," katanya.

Mengenai pemberian dividen kepada kerajaan bagi 2021, beliau berkata, Khazanah melihat permintaan dividen yang tinggi di tengah-tengah persekitaran yang mencabar adalah sesuatu yang sah.

"Sama ada Khazanah boleh memberi dividen yang tinggi, ia bergantung kepada keperluan dan kemampuannya," katanya.

Berita Harian X