Khamis, 4 March 2021 | 4:03pm
Sayap pelaburan kerajaan, Khazanah Nasional Bhd
Sayap pelaburan kerajaan, Khazanah Nasional Bhd

Khazanah catat untung RM2.9 bilion tahun lalu

KUALA LUMPUR: Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) mencatatkan keuntungan daripada operasi berjumlah RM2.9 bilion pada 2020, lebih rendah berbanding RM7.4 bilion pada 2019.

Sungguhpun pendapatan dividen daripada syarikat pelaburannya meningkat kepada RM5.2 bilion berbanding RM3.8 bilion sebelumnya, Khazanah meraih hasil pelupusan yang lebih rendah pada 2020 iaitu RM2.7 bilion berbanding RM9.9 bilion pada 2019.

Kesan daripada pandemik COVID-19 turut menyaksikan peruntukan bagi rosot nilai sayap pelaburan kerajaan itu meningkat kepada RM6 bilion, terutama bagi aset penerbangan dan perhotelan miliknya, berbanding RM4.9 bilion pada tahun sebelumnya.

Syarikat pelaburan Khazanah seperti Malaysia Airlines Bhd, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dan Themed Attractions Resorts & Hotels (TAR&H) terkesan akibat pandemik itu.

Khazanah terpaksa memperuntukkan rosot nilai bagi beberapa aset miliknya, iaitu RM3.1 bilion untuk syarikat induk Malaysia Airlines, iaitu Malaysia Aviation Group Bhd (MAG) dan RM1.8 bilion untuk TAR&H, bagi mengurangkan impak akibat pandemik.

Bagi 2020, Khazanah mengisytiharkan dividen RM2 bilion kepada kerajaan Malaysia.

Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Shahril Ridza Ridzuan, berkata prestasi pada 2020 dicapai berlatarbelakangkan suasana ekonomi yang mencabar serta impak pandemik COVID-19, yang belum pernah dilalui sebelum ini, pada operasinya.

Sungguhpun begitu, beliau menjelaskan, usaha yang Khazanah mulakan beberapa tahun lalu banyak membantu untuk mengharungi ketidaktentuan ekonomi.

"Kami juga telah mengenal pasti beberapa peluang pelaburan yang baik ketika berada dalam tempoh pandemik ini serta ketidakstabilan pasaran akibat daripadanya.

"Khazanah terus mempelbagaikan portfolio global sambil kami membina nilai mampan untuk Malaysia, selari dengan mandat jangka panjang kami," katanya pada sidang media secara maya mengenai Kajian Tahunan Khazanah 2021, hari ini.

Pada 2020, kedudukan kewangan Khazanah kekal kukuh dengan jumlah hutang dikurangkan sebanyak enam peratus kepada RM43.1

bilion berbanding RM45.8 bilion pada 2019.

Manakala, lindungan nilai aset boleh tunai susut sedikit kepada 2.9 kali ganda berbanding 3.0 kali ganda.

Nilai Aset Boleh Tunai (RAV) dana komersial berada pada RM95.3 bilion pada akhir 2020.

Dana komersial, yang tertumpu pada pelaburan untuk memelihara dan mengembangkan nilai aset dalam jangka panjang, mencatatkan kemajuan ketara dari segi kepelbagaian portfolio, selari dengan usaha pengimbangan semula portfolio yang dimulakan dua tahun lalu.

Pada 2020, Khazanah mencatatkan kemajuan dalam beberapa kelas aset, hasil daripada pengimbangan semula aset Pelaburan Swasta dalam Ekuiti Awam (PIPE), penyaluran dana tambahan dalam ekuiti awam di pasaran maju serta memanfaatkan ketidaktentuan dalam pasaran baharu muncul, sambil meneruskan pelaksanaan program pelaburan dalam pasaran swasta.

Dana strategik mencatatkan keuntungan 0.3 peratus pada 2020, berbanding kadar pulangan yang disasarkan daripada hasil sekuriti kerajaan Malaysia (MGS) untuk tempoh 10 tahun atas asas lima tahun.

RAV untuk portfolio dana strategik berada pada RM27.9 bilion pada 31 Disember 2020, susut kira-kira 15 peratus berbanding RM32.9 bilion pada 2019.

Nilai portfolio berkenaan menerima kesan akibat kejatuhan nilai pasaran aset tersenarai utama dan peruntukan yang dibuat atas rosot nilai bagi aset berkaitan penerbangan dan perhotelan.

Bagi dana strategik, Khazanah mengharungi 2020 yang mencabar dengan menumpukan usaha pada sesi libat urus dengan pihak pengawal selia,

Ia bagi menangani persekitaran operasi mencabar bagi syarikat pelaburannya, penyusunan semula penyata imbang bagi aset terpilih untuk memelihara nilai, memperkukuhkan barisan kepemimpinan syarikat operasi, serta pemantauan dan penilaian berterusan kesan COVID-19 ke atas syarikat pelaburannya.

Khazanah menyumbang RM20 juta untuk menyokong usaha bantuan menerusi Rangkaian Tindakan Bencana GLC/ GLIC (GDRN), yang menyelaraskan bantuan kepada Kementerian Kesihatan untuk pembelian bekalan perubatan serta pelbagai bantuan kemanusiaan lain sebagai respons menghadapi pandemik.

GDRN dikendalikan oleh sekretariat bersama yang diterajui oleh Yayasan Hasanah, iaitu yayasan milik Khazanah, dan Telekom Malaysia Bhd (TM).

Berita Harian X