Ahad, 28 Februari 2021 | 12:34pm
Ketua Pegawai Eksekutif, Co-opbank Pertama, Mohd Nor Abd Razak. - NSTP/MAHZIR MAT ISA
Ketua Pegawai Eksekutif, Co-opbank Pertama, Mohd Nor Abd Razak. - NSTP/MAHZIR MAT ISA

Co-opbank sasar pendapatan Ar-Rahnu meningkat kepada RM350 juta

Co-opbank Pertama Malaysia Bhd (CBP) menyasarkan peningkatan pendapatan daripada perkhidmatan Ar-Rahnu kepada RM350 juta pada 2021 berbanding dengan RM290 juta tahun lalu.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Nor Abd Razak berkata peningkatan ini didorong situasi semasa yang terkesan dengan pandemik COVID-19, yang menjadikan perkhidmatan Ar-Rahnu sebagai saluran untuk memperoleh pembiayaan mikro terutama dalam kalangan golongan penjaja dan peniaga kecil.

"Sejak Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKP) ditarik balik sebelum ini, saya melihat ramai penjaja dan peniaga kecil menggunakan perkhidmatan pajak gadai konvensional dan Ar-Rahnu bagi mendapatkan modal perniagaan.

"Konsep ini bukan perkara baharu kerana sudah menjadi amalan dalam kalangan peniaga wanita terutama di kawasan Pantai Timur apabila mereka menggunakan emas sebagai modal pusingan perniagaan," katanya dalam kenyataan kelmarin.

Beliau berkata walaupun begitu, ramai yang masih kurang sedar mengenai kelebihan selain tidak memahami konsep pajak gadai Islam atau Ar-Rahnu berbanding dengan aliran pajak gadai konvensional.

Mohd Nor berkata berdasarkan laman web Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), tidak kurang empat juta penduduk di negara ini menggunakan perkhidmatan pajak gadai konvensional dengan hampir 300 kedai pajak gadai di seluruh negara.

"Oleh yang demikian, saya rasa bertanggungjawab untuk memberi kesedaran kepada masyarakat terutama pelanggan CBP supaya beralih daripada pajak gadai konvensional kepada Ar-Rahnu.

"Ar-Rahnu berlandaskan syariah, tiada riba, telus kerana emas dinilai menggunakan mesin khusus, bermutu tinggi dan mengikut piawaian yang ditetapkan jika dibandingkan dengan pajak gadai konvensional yang dijalankan di luar kaunter," katanya.

Beliau berkata untuk memastikan CBP terus menerajui perkhidmatan Ar-Rahnu, satu kempen khusus diadakan awal bulan ini dengan menawarkan kadar keuntungan 6.9 hingga 7.0 peratus. – Bernama

Berita Harian X